Selasa, 30 March 2021 | 4:10pm
(Gambar hiasan) - Foto: NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
(Gambar hiasan) - Foto: NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Kempen pemilikan rumah wajar dilanjutkan - REHDA

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga akhir tahun ini bagi meneruskan momentum positif jualan rumah.

Sebelum ini, kempen itu dilancarkan pada Januari 2019 dan sepatutnya berakhir pada 30 Jun tahun sama, namun disebabkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan meluluskan permintaan REHDA untuk melanjutkan tempoh HOC selama enam bulan sehingga 31 Disember 2019.

Enam bulan kemudian, HOC diperkenalkan semula sebagai respons terhadap Covid-19 dan kini berlangsung dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021.

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon berkata, bagi tempoh kempen HOC antara 1 Jun 2020 hingga 28 Februari 2021 sebanyak 34,354 unit rumah bernilai kira-kira RM25.65 bilion sudah terjual.

"Sebanyak 78 peratus atau RM20.11 bilion yang terjual itu adalah rumah yang masih dalam pembinaan manakala 22 peratus atau bernilai RM5.54 bilion adalah rumah siap.

"Pasaran adalah lembab antara Januari hingga Februari 2021 sejurus kerajaan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diperkenalkan susulan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara.

"Jualan tertinggi membabitkan kediaman jenis apartmen servis iaitu 36 peratus daripada semua jenis kediaman diikuti teres dua tingkat sebanyak 29 peratus dan kondominium atau pangsapuri sebanyak 19 peratus.

"Kategori harga yang terjual pula 37 peratus daripadanya bernilai antara RM500,000 hingga RM750,000; 26 peratus (antara RM300,000 hingga RM500,000) dan 19 peratus (antara RM750,000 hingga RM1 juta)," katanya dalam taklimat bersama media di Wisma Rehda di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan pendapat dilakukan, majoriti atau 89 peratus responden dalam kalangan pemain industri memperoleh penjualan mereka melalui HOC.

Selain itu, katanya, pihaknya meletakkan harapan Rehda supaya sempadan negeri dibuka semula bagi merancakkan lagi sektor hartanah dan perumahan tempatan.

Beliau berkata, pada satu ketika, akibat PKP menyebabkan galeri jualan tidak dapat dibuka dan pameran rumah juga tidak dapat dilaksanakan sedangkan itu adalah antara tarikan untuk pembeli yang berpotensi membuat keputusan membeli rumah.

"Berkenaan jualan unit komersial pula, susulan keputusan kerajaan terus menggalakkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), permintaan untuk unit komersial juga mendapat impaknya.

"Sehubungan itu, kini trend pemaju adalah menyediakan lot komersial di kawasan bawah kediaman bertingkat," katanya.

Sementara itu, Soam berkata, pemain industri lebih optimistik berdepan separuh kedua tahun 2021.

"Kami lebih yakin dengan prospek pada separuh kedua tahun ini khususnya dengan adanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," katanya.

Selain itu, REHDA berharap institusi kewangan menjadi lebih akomodatif dalam menilai kelulusan pinjaman bagi pelanggan yang mahu membeli hartanah.

Berita Harian X