Isnin, 1 Februari 2021 | 1:20pm

Sunway beli bidang tanah berhampiran EkoCheras Mall, RM42 juta

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd (Sunway), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Kinrara Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli untuk mengambilalih sebidang tanah berstatus pegangan bebas berkeluasan 1.35 hektar dengan pertimbangan belian RM42 juta.

Pengambilalihan tanah dari CTM Development Sdn Bhd itu membabitkan lokasi di kawasan kejiranan di Taman Mutiara, Kuala Lumpur itu dicadangkan untuk pembangunan kediaman eksklusif dengan gaya hidup norma baharu.

Sunway dalam satu kenyataan, berkata tanah yang terletak di kawasan strategik bagi pembangunan kediaman khusus bakal memiliki komponen townhouse dan kondominium.

"Terletak 400 meter dari EkoCheras Mall yang menawarkan perhubungan terus ke stesen MRT Taman Mutiara, tanah berkenaan dikelilingi sejumlah kemudahan dalam lingkungan lima kilometer termasuk Sunway Velocity, Taman Tasik Permaisuri Park, Pantai Hospital Cheras, UKM Medical Center dan UCSI University dengan akses mudah kepada pelbagai lebuh raya seperti Lebuhraya Cheras Kajang, Expressway, the Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuhraya Salak," katanya.

Taman Permaisuri yang berkeluasan 49.4 hektar menjadi antara kawasan hijau terbesar di Kuala Lumpur yang menawarkan peluang aktiviti rekreasi, yang mana terletak kurang lima kilometer dari tanah berkenaan.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah.
Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata syarikat itu memperoleh tanah dengan perintah pembangunan yang sudah dipersetujui, sekali gus akan mempercepatkan lagi pembangunannya.

Katanya, pembangunan yang dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun depan dengan tempoh siap adalah 2026 dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan Sunway bermula 2022.

"Cadangan pembangunan tanah pegangan bebas akan memenuhi permintaan untuk ruang kediaman yang lebih besar dan lebih banyak aktiviti boleh dilakukan di rumah, sebagai sebahagian daripada norma baharu bekerja dari rumah.

"Selain itu, kami bercadang untuk membangunkan kawasan luaran yang luas dengan pembangunan yang menggabungkan aspek kesihatan dan kesejahteraan sebagai keutamaan.

"Kami merancang untuk membangunkan kediaman eksklusif yang mengandungi 255 unit townhouse dan kondominium dengan binaan dalaman lebih besar sedikit bagi memenuhi gaya hidup norma baru," katanya.

Cheah berkata, Sunway menjangkakan harga kediaman bermula kira-kira RM650 sekaki persegi yang mana dilihat kompetitif berdasarkan aspek kepadatan rendah, pegangan bebas dan lokasi strategik di tengah-tengah Cheras.

"Pengambilalihan ini adalah Pemaju Komuniti Utama Sunway Property yang juga simpanan tanah pertama tahun ini dan mencerminkan keyakinan kepada pemulihan pasaran hartanah pada tahun ini selepas mencatat kemajuan perlahan tahun lalu akibat pandemik.

"Sunway Property akan terus meninjau lebih banyak peluang strategik pada tahun ini memandangkan pasaran hartanah yang menyederhana. Kami mahu bersedia untuk sebarang pemulihan dalam pasaran hartanah dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Ketika ini, jumlah keseluruhan simpanan tanah Sunway adalah 1,346 hektar membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM51.6 bilion dengan tempoh pembangunan selama 15 tahun.

Berita Harian X