Sabtu, 7 Disember 2019 | 10:00am

SPB laksana Pra-CCC pertama di Melaka

ALOR GAJAH: Syarikat pembinaan hartanah, Sri Pengkalan Binaan Sdn Bhd (SPB) menerusi penganjuran Pemeriksaan Pra-Perakuan Siap dan Pematuhan (Pre-CCC Inspection) pertama kali mahu pengeluaran perakuan bagi 151 pelbagai jenis unit kediaman di Taman Nuri di sini, dengan konsep berkualiti, inovatif, dan mampu milik dapat direalisasikan menjelang 2020.

Pengarah Urusan SPB, Datuk Jacky Yap Jyh Haur berkata, dengan cara itu, syarikat bukan sahaja dapat menyempurnakan projek perumahan pada harga mampu milik, malah pembeli yang dipilih secara rawak menyertai program itu juga melalui pengalaman dalam menilai kualiti rumah mengikut piawaian industri pembinaan sebelum memiliki CCC.

Jacky berucap pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad
Jacky berucap pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad

"Ia sekali gus meyakinkan pembeli dengan latar belakang syarikat berdasarkan trek rekod lebih 40 tahun dalam negara, serta membantu mereka membuat keputusan bijak dan tepat," katanya.

Mengulas lanjut, Jacky berkata SPB kini memiliki beberapa projek hartanah selain di Bidor, Perak; Banting, Selangor; Kedah dan akan datang di Johor.

Katanya, syarikat bukan sahaja mementingkan konsep perumahan inovatif, berkualiti dan mampu milik tetapi menerapkan pelbagai elemen seperti Perbandaran Integrasi di Taman Nuri yang dilengkapi trek jogging, kolam rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan pusat komersil bagi mewujudkan persekitaran kondusif serta gaya hidup sihat.

"Kita mahu menyediakan perumahan mampu milik dengan reka bentuk premium seperti konsep banglo dua tingkat dengan halaman terbuka (sky garden), selamat apabila dilengkapi pengawal keselamatan dan kawalan rondaan beroperasi 24 jam, dan berkonsepkan kehijauan," katanya.

Justeru, katanya, selain Pra-CCC, pihaknya melaksanakan program transformasi kualiti menerusi dua lagi inisiatif iaitu proses dalaman kawalan kualiti, kepastian kualiti (QAQC) dan sistem menilai kualiti dan mutu kemasan bangunan (QLASSIC) bagi projek Taman Nuri malah SPB adalah pertama berbuat demikian.

Mohd Sofi (tengah) bersama Jacky (tiga dari kanan) bergambar bersama pemilik rumah pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohd Sofi (tengah) bersama Jacky (tiga dari kanan) bergambar bersama pemilik rumah pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad

"SPB sudah mengguna pakai sistem QLASSIC di semua projek perumahan termasuk projek Taman Nuri. Ia bagi membolehkan kuantum kerja sepanjang proses pembinaan dapat dinilai secara tepat dan diterjemah dalam bentuk sistem skor," katanya.

Katanya, beliau berharap dengan pensijilan QLASSIC dan ISO, syarikat mampu mencapai visi dan misi 'minimum defect' atau kerosakan minima.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Durian Tunggal, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab; dan Pengarah SPB, Yap Lih Shyan.

Mohd Sofi ketika ditemui turut mencadangkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) supaya pemeriksaan Pra-CCC antara syarat pemaju hartanah membangunkan projek perumahan di negeri itu sebagai inisiatif meyakinkan pembeli memiliki kediaman berkualiti mengikut pencapaian standard secara maksimum.

Mohd Sofi (kiri) diiringi Jacky (kanan) merasmikan rumah milik, Norazura Zulkapli, 35, (tengah) pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohd Sofi (kiri) diiringi Jacky (kanan) merasmikan rumah milik, Norazura Zulkapli, 35, (tengah) pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad

Sementara itu, jurutera kimia, Muhammad Farhan Mokhtar, 24, berkata, dia mahu menghadiahkan rumah pertama pada ibu dan ayah bagi membalas jasa membesarkan mereka tiga beradik.

Pembeli termuda itu, memilih kediaman teres dua tingkat di bawah projek SPB di sini sebagai rumah pertama idamannya.

Katanya, sebaik berjumpa ejen dan melihat contoh kediaman, dia sangat tertarik dengan reka bentuknya yang lain daripada yang lain selain menawarkan harga mampu milik.

"Reka bentuknya tidak seperti teres dua tingkat yang biasa, ia lebih kontemporari dan moden, siling lebih tinggi, mempunyai halaman persendirian di bahagian belakang dan kepadatan penduduk yang rendah.

"Saya membelinya bukan sahaja untuk ibu dan ayah, tetapi sebagai pelaburan jangka masa panjang dengan mengumpul hartanah," katanya yang ditemani ayah dan adiknya.

Jacky (kiri) menunjukkan kawasan perumahan kepada Mohd Firdaus (dua dari kiri) dan keluarga pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad
Jacky (kiri) menunjukkan kawasan perumahan kepada Mohd Firdaus (dua dari kiri) dan keluarga pada Majlis 'Pre-CCC Inspection' dan penyerahan replika kunci anjuran SPB, di Taman Nuri, Belimbing Setia, Alor Gajah. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pembeli kediaman unit lot dua setengah tingkat (zero lot), Mohd Firdaus Mohd Shaari, 33, berkata dia memilih membeli kediaman itu di Melaka kerana reka bentuknya menarik, harga dan menjangkakan akan mendiaminya selepas dia dan isterinya tidak lagi bekerja di ibu negara.

"Saya dan isteri bekerja di Putrajaya. Jika ke Melaka, saya akan ke sini, kerana kampung saya di Pertam. Jadi, rumah ini untuk didiami jangka masa panjang," kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Kedua-dua pembeli unit kediaman Taman Nuri Fasa 3, itu antara enam pembeli yang dipilih secara rawak bagi menyertai majlis berkenaan.

Berita Harian X