Khamis, 24 Oktober 2019 | 5:27pm

Dana Rumah Mampu Milik bantu 1,100 isi rumah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sudah meluluskan sejumlah RM180 juta daripada Dana Rumah Mampu Milik RM1bilion sehingga September tahun ini.

Dana berkenaan diperuntukkan untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah membiayai sebahagian daripada pembelian rumah pertama mereka.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin, berkata setakat ini, dana itu sudah membantu 1,100 isi rumah daripada golongan B40.

Dana itu yang dilancarkan awal tahun ini, katanya adalah untuk isi rumah berpendapatan maksimum sehingga RM4,360 yang berminat membeli hartanah berharga sehingga RM300,000.

“Sehingga September tahun ini, sebanyak 18 peratus daripada jumlah dana berkenaan sudah diluluskan,"  katanya pada sesi taklimat BNM bersama media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan di sini, hari ini.

Beliau berkata, BNM menggunakan dana itu bagi menawarkan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.5 peratus setahun dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun atau sehingga berusia 70 tahun (yang mana terdahulu).

Antara insentif istimewa lain yang ditawarkan menerusi dana berkenaan ialah tiada fi pemprosesan pembiayaan; pengecualian duti setem ke atas perjanjian jual beli dan perjanjian pembiayaan serta kadar berpatutan untuk melindungi gadai janji.Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion diperuntukkan untuk dua tahun bermula 2 Januari 2019 atau sehingga dana berkenaan digunakan sepenuhnya.

Sementara itu, Qaiser Iskandar berkata, pelbagai inisiatif sudah dijalankan dalam usaha membantu golongan B40 dan M40 mendapatkan rumah.

“Antaranya termasuk Skim Rumah Pertamaku; Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Perumahan Belia (BSN) selain Skim Sewa-Untuk-Beli (RTO) yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, baru-baru ini.

“Pada masa sama, penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) juga memberi khidmat nasihat kewangan bagi mereka yang tidak berjaya mendapatkan pembiayaan daripada bank,” katanya.

Berita Harian X