Jumaat, 16 Ogos 2019 | 12:34pm
Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ballymore Group Sean Mulryan (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif EcoWorld International, Tan Sri Liew Kee Sin, pada majlis penyempurnaan struktur bangunan Wardian London di London.
Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ballymore Group Sean Mulryan (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif EcoWorld International, Tan Sri Liew Kee Sin, pada majlis penyempurnaan struktur bangunan Wardian London di London.

EcoWorld International sasar jadi pemaju unggul London

LONDON: Eco World International Bhd (EcoWorld International) menyasar menjadi antara pemaju hartanah tempatan terunggul dan sebagai jenama isi rumah terkemuka dalam kalangan penduduk London.

Meskipun syarikat berkenaan boleh dikatakan masih baharu dengan pelancaran projek sulungnya pada 2015, namun ia berkembang pesat secara organik dan menerusi perkongsian.

Ia sekali gus menyaksikan EcoWorld International kini membangunkan 11 projek iaitu sembilan di London dan dua di Australia manakala tiga lagi bakal dibangunkan di London, Sydney dan Melbourne. Dua lagi lokasi akan diperoleh di London.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata dalam tempoh yang singkat, pihaknya menyasar untuk muncul sebagai antara pemaju terkemuka British dalam pelbagai segmen hartanah termasuk hartanah premium, sederhana dan konsep bina-untuk-disewa (BtR).

“Untuk maju, kami tidak boleh dikenali pemaju asing di London, sebaliknya menjadi pemaju tempatan (British), iaitu dengan mengambil hampir keseluruhan pekerja tempatan.

“Kami berpuas hati dengan pencapaian semasa, namun terdapat banyak ruang untuk diperbaiki,” katanya kepada media dalam sesi lawatan ke beberapa projek syarikat berkenaan di sini.

Dalam sesi berkenaan, Kee Sin juga mengadakan majlis menyempurnakan struktur pembinaan bagi projek pembangunan Wardian London.

Projek itu dilaksanakan menerusi EcoWorld Ballymore, iaitu perkongsiannya dengan pemaju hartanah berpangkalan di Ireland iaitu Ballymore Group.

Hadir sama ialah Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ballymore Group, Sean Mulryan.

Berdepan dengan Canary Wharf, menara kediaman 57 tingkat Wardian London sedia untuk siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Ia adalah reka bentuk pembangunan kediaman pertama di dunia yang menempatkan ‘sky garden’ dengan tanaman eksotik iaitu di tingkat 53 serta akses kepada persekitaran hijau dan tenang di salah satu kawasan kejiranan paling sibuk di London.

Direka dengan kerjasama Glenn Howells Architects, Wardian London terdiri daripada dua menara kediaman 55 dan 50 tingkat yang mengandungi 766 kediaman termasuk suite, satu dan dua bilik tidur pangsapuri dan penthouse.

“Ia menjadi salah satu pembangunan kediaman yang paling dinanti-nantikan di London, dan saya teruja menyempurnakan struktur pembinaannya, peristiwa penting bagi EcoWorld Ballymore,” kata Kee Sin.

Sementara itu, Mulryan berkata, Ballymore memiliki tapak pembangunan berkenaan sejak 25 tahun lalu dan adalah sesuatu membanggakan menyaksikan menara kediaman itu berdiri teguh di bandaraya berkenaan.

“Ini adalah mercu tanda utama pembangunan, kami tidak sabar menunggu ia siap dan kemasukan pemilik kediaman seawal tahun hadapan. Kami berkerja rapat dengan Glenn Howells Architects bagi membina bangunan yang indah dan hebat ini,” katanya.

EcoWorld International adalah syarikat sekutu Eco World Development Group Bhd.

Pemegang saham utama dalam Ecoworld International, selain daripada pegangan peribadi pengasasnya, Kee Sin dan syarikat berkaitannya yang berjumlah kira-kira 37.27 peratus, adalah beberapa pelabur institusi dana awam negara.

Antaranya ialah Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan pegangan kira-kira 6.0 peratus; Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dengan 3.20 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 1.97 peratus.

Berita Harian X