Jumaat, 21 Jun 2019 | 5:51pm
Ketua Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong (tiga dari kiri) bersama Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Abdul Kadir (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi telefon pintar 'hUb'. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria.
Ketua Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong (tiga dari kiri) bersama Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Abdul Kadir (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi telefon pintar 'hUb'. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria.

UEM Sunrise lancar pembangunan baharu akhir tahun

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) bakal melancarkan projek pembangunan bercampur terbaharunya di Kepong menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pemasarannya, Kenny Wong, berkata nama projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM680 juta hingga RM690 juta itu bagaimanapun masih belum boleh dihebahkan.

“Projek di atas tanah seluas 29.4 hektar itu itu merangkumi pembinaan dua blok kondominium dengan anggaran 870 unit hingga 900 unit. Ia akan dibangunkan secara bersama dengan rakan kongsi kami di kawasan berhampiran Taman Metropolitan Kepong.

“Pembangunan fasa pertama itu akan menerapkan konsep gaya hidup kontemporari moden dan keseluruhan tapak dijangka mengambil masa sehingga 15 hingga 20 tahun untuk dibangunkan sepenuhnya,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi mudah alih, hUb di sini, hari ini.

Aplikasi berkenaan dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembeli rumah yang dibangunkan UEM Sunrise serta untuk kegunaan bakal pembeli rumah yang berpotensi.

Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan untuk meningkatkan pengalaman pelanggannya dengan melaksanakan inovasi dan memenuhi inisiatif ‘Go Digital’.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Kadir.

Sementara itu, Wong berkata untuk terus kekal relevan dalam pasaran, UEM Sunrise perlu menyepadukan teknologi digital ke dalam perniagaannya.

“Ini adalah sebab mengapa kami mula melaksanakan pelbagai inisiatif digital dan inovasi sama ada secara dalaman atau luaran.

“Selain itu, kami juga sedang aktif mencari syarikat pemula niaga dan perniagaan yang baru muncul untuk potensi kerjasama dengan UEM Sunrise. Ia bagi membantu penciptaan lebih banyak nilai kepada kami,” katanya.

Berita Harian X