Sabtu, 17 November 2018 | 6:34pm
PAMERAN Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Klebang, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
PAMERAN Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Klebang, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

'Tackle' bank macam kekasih

IPOH: Pengunjung Pameran Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Ipoh Klebang di sini hari ini berpeluang mendapat pelbagai petua daripada penceramah hebat dalam bidang hartanah dan perbankan.

Empat slot ceramah yang disediakan penganjur membabitkan tajuk 5 Design Trend 2019, Jom Tackle Bank, Lima Tertib Duit Sebelum Melabur Hartanah dan Bagaimana Membeli Hartanah Sebelum Umur 25 tahun.

Antara penceramah ialah Amin Yusoff, Bella Leanna, Azim Sulaiman dan Hasnain Hasan.

Paling mendapat tumpuan adalah ceramah disampaikan Bella Leanna dengan tajuk ‘Jom Tackle Bank’ yang mana pengunjung mahu mendengar petua bagaimana permohonan membeli rumah mudah diluluskan institusi perbankan, satu perkara yang menjadi isu hangat diperbualkan dalam kalangan ‘pemburu’ hartanah.

Bella Leanna yang juga Penasihat Pembiayaan Pejuang Hartanah, dalam ceramahnya berkata, pembeli seharusnya membuat semakan terlebih dulu mengenai kelayakan permohonan pinjaman mereka yang boleh diluluskan institusi perbankan.

PALING mendapat tumpuan adalah ceramah disampaikan Bella Leanna dengan tajuk ‘Jom Tackle Bank’. - NSTP/Abdullah Yusof
PALING mendapat tumpuan adalah ceramah disampaikan Bella Leanna dengan tajuk ‘Jom Tackle Bank’. - NSTP/Abdullah Yusof

Sambil mengibaratkan bank perlu dijadikan sebagai ‘kekasih’ iaitu teman lelaki, teman wanita atau suami isteri, beliau berkata, permohonan perbankan akan mudah lulus sekiranya pembeli tahu cara untuk ‘tackle’ (tahu selok belok mengenai) bank.

“Bank ni sama macam perhubungan kita, kita perlu ‘tackle’ pasangan kita supaya lebih mengenali pasangan kita, sama juga dengan bank di mana sebelum hantar permohonan kita mesti tahu apa kriteria yang diinginkan sesebuah bank itu.

“Kena tahu apa kriteria bank mahukan dan bukannya mengikut kriteria kita kerana hendak meminta sesuatu kita perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya yang berpengalaman dalam bidang perbankan.

Menurutnya, pembeli rumah sepatutnya membuat semakan dengan beberapa bank sebelum memilih rumah yang dikehendaki dan bukannya memilih rumah terlebih dulu.

“Kita perlu ‘shopping’ (buat semakan) dekat bank, sekarang dekat bank ada macam-macam yang ditawarkan macam pusat beli belah, jadi jika kita nak beli rumah, kita kena pergi beberapa bank untuk menilai tawaran diberikan.

“Lain bank lain dasarnya, kita kena cari bank menawarkan yang paling bagus untuk kehendak dan keperluan kita,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek MyRumah 2018, Mohd Haslan Abd Abbas berkata, hari ketiga pameran itu esok akan menampilkan selebriti, Maria Tunku Sabri yang akan membuat demonstrasi masakan.

Katanya, selain itu, Maria akan turut berkongsi pengalamannya dalam bidang hartanah termasuk kisah rumah tujuh tingkat miliknya yang menjadi viral dalam media sosial.

“Selain itu, dua lagi ceramah iaitu ‘Bagaimana Anda Boleh Jimat Faedah Pinjaman Sehingga 80 Peratus Daripada Faedah Jumlah Pinjaman’ disampaikan Franciss Chin dan ‘Teknik Beli Rumah Lagi Dan Lagi’ disampaikan Aziz Ahmad,” katanya.

Berita Harian X