Selasa, 31 Julai 2018 | 1:22pm

Naza TTDI lancar komponen runcit KL Metropolis

KUALA LUMPUR: Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), cabang hartanah milik Naza Corporation Holdings Sdn Bhd melancarkan komponen runcit pertama bagi pembangunan hartanah bercampur KL Metropolis, Met Galleria membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM160 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata Met Galleria terdiri daripada galeri runcit yang memaparkan gaya hidup antarabangsa bercirikan kolonial dan moden merangkumi elemen kualiti serta kecanggihan dalam setiap reka bentuknya.

"Pusat beli-belah dua tingkat yang berkeluasan lebih 80,000 kaki per segi itu menyasarkan pembeli serta pengunjung yang mementingkan suasana lebih tenang, selesa dan harmoni," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Met Galleria, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.

Idzham berkata, setakat ini, 40 peratus daripada ruang runcit Met Galleria dikhususkan bagi peruncit makanan dan minuman (F&B), 20 peratus dicadangkan untuk kedai konsep, manakala bakinya akan diagihkan kepada penyewa utama, penyedia perkhidmatan dan kiosk.

"Met Galleria akan memenuhi keperluan penghuni di MET 1 Residences, pekerja dari pejabat berdekatan dan komuniti sekitar Mont Kiara serta pelawat MITEC," katanya.

Pembangunan hartanah bercampur, KL Metropolis adalah pembangunan utama Naza TTDI di Lembah Klang.

Met Galleria adalah sebahagian daripada fasa pembangunan mega berkenaan.KL Metropolis membabitkan GDV bernilai RM20 bilion dan dibangunkan di kawasan strategik seluas 30.55 hektar.

Berita Harian X