Khamis, 5 Julai 2018 | 7:50pm

MyRumah tawar projek hartanah hangat wilayah utara

KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah Myrumah anjuran kumpulan akhbar terbesar Malaysia, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menjadi platform untuk orang ramai, terutama pembeli rumah pertama untuk membeli kediaman impian mereka dengan harga berpatutan.

Penganjuran Pameran Hartanah MyRumah yang bakal berlangsung esok hingga Ahad ini di Amanjaya Mall, Sungai Petani Kedah menyasarkan golongan berpendapatan B40, M40 dan T20 membeli rumah.

Amanjaya Mall menjadi lokasi kedua daripada empat lokasi penganjuran MyRumah pada tahun ini yang akan menawarkan beberapa projek hartanah paling hangat di kawasan utara.

Sebagai platform bersepadu kepada pembeli dan pelabur hartanah, MyRumah 2018 yang masuk tahun ketiga penganjurannya menawarkan pelbagai jenis kediaman secara keseluruhan bernilai lebih RM1 bilion.

Antara pemaju yang terbabit dalam pameran MyRumah 2018 di Sungai Petani minggu ini adalah Hunza Properties Bhd, Oriental Investment Bhd (OIB), OSK Properties Sdn Bhd, Plenitude Heights Sdn Bhd, Sepakat Mewah Sdn Bhd, SPNB Aspirasi Sdn Bhd dan UDA Land (North) Sdn Bhd.

Selain itu, beberapa institusi berkaitan lain turut akan menyertai pameran MyRumah 2018 di Sungai Petani kali ini seperti Amanah Raya Bhd, Bank Muamalat dan Takaful Ikhlas.

MyRumah menawarkan bukan saja jualan hartanah yang berpatutan, malah menyediakan maklumat dan pandangan utama mengenai perkara yang perlu dan tidak perlu dalam membeli hartanah.

Ini termasuk maklumat dan tips yang berkaitan dalam proses pembelian hartanah termasuk isu mengenai pinjaman, gadai janji, insurans dan pemeriksaan kredit.

Pembeli dan pelabur juga berpeluang bertemu dan berkongsi dengan pakar industri dalam bidang berkaitan hartanah yang berkaitan.

Bagi pengunjung bertuah, mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah selain cenderamata istimewa kepada mereka yang berjaya mengumpul cap khas di setiap gerai pameran.

Pada penganjuran MyRumah 2017 yang lalu, sehingga suku pertama tahun ini sebanyak 73 unit hartanah berjaya terjual dengan nilai lebih RM36 juta.

Siri pameran hartanah di Shah Alam baru-baru ini juga berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung.

Kemasukan pameran MyRumah selama tiga hari itu adalah percuma dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Berita Harian X