Selasa, 20 Februari 2018 | 2:58pm

UEM Sunrise unjur jualan RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd, pemaju hartanah tempatan menyasarkan jualan sebanyak RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion tahun ini disokong oleh permintaan yang kukuh dalam segmen hartanah bertingkat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata unjuran itu juga dibantu oleh pelancaran projek hartanah baharu termasuk Estuari Gardens, Serimbun dan Melia Residences di Iskandar Puteri serta Kondominium Tiara Kasih di Kuala Lumpur, projek rumah mampu milik yang bakal dilancarkan suku pertama tahun ini.

"Projek kami di Kuala Lumpur lebih tertumpu kepada kediaman mewah, manakala Selangor dan Johor pula ke arah pasaran hartanah bertanah.

"Projek yang mendapat sambutan sangat menggalakkan adalah Serene Heights Bangi dan keempat-keempat fasa terjual dengan baik sekali," katanya di sini, baru-baru ini.

UEM Sunrise adalah penaja platinum bagi forum teknikal bukan undang-undang yang diselenggarakan oleh Program Penyelesaian Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sejak 2002 itu.

Forum bertemakan Bandar Raya 2030, Bandar Raya Untuk Semua: Melaksanakan Agenda Baharu Bandar itu mampu mengukuh kedudukan syarikat dalam menawarkan bandar lestari khususnya memastikan kehidupan lebih berkualiti dan persekitaran mampan.

Beliau berkata, industri hartanah sinonim di tengah-tengah perbandaran dan ia mencipta banyak peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Tanggungjawab UEM adalah membina perbandaran yang holistik untuk komuniti yang selamat dan seimbang.

"Untuk ke arah itu, kami menerapkan konsep Rekaan Persekitaran Menerusi Pencegahan Jenayah (CPTED) di semua pembangunan kami untuk mengurangkan kadar jenayah," katanya.

INFO
Projek semasa UEM Sunrise:

  • Serene Heights Bangi, Selangor
  • Residensi Solaris Parq
  • Verdi Eco-dominiums
  • Kondominium Kiara Kasih
  • Estuari Gardens, Serimbun
  • Melia Residences
Berita Harian X