Isnin, 2 Oktober 2017 | 7:23pm
PENGURUS Besar, Agensi & Agensi Pengiklanan SME NSTP, Roche Chew memberi ucapan pada taklimat akhbar Pameran MyRumah 2017 di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENGURUS Besar, Agensi & Agensi Pengiklanan SME NSTP, Roche Chew memberi ucapan pada taklimat akhbar Pameran MyRumah 2017 di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MyRumah 2017: 19 penceramah kongsi kepakaran

KUALA LUMPUR: Seramai 19 penceramah yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan hartanah akan memberikan ceramah pada pameran terakhir MyRumah 2017 yang bakal berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara bermula 6 hingga 8 Oktober ini.

Penceramah yang terbabit akan mengupas mengenai pelbagai topik termasuklah dari aspek perundangan, cukai, strategi sewaan, rekaan dalaman dan peluang pelaburan dalam bidang hartanah.

Antara penceramah berkenaan adalah Ketua Eksekutif SuperiorWealth Group, Alan Poon; Pengarah Amacc Corporate Services Sdn Bhd, Amsyari Zarir Abdul Shakur; Peguam dan Pengasas Messrs Yeoh, Mazlina & Partners (YMP), Datuk Seri Matthew Yeo; Peguam dan Pengasas Tetuan Nazri Azmi Islinda; Pengasas MRP Advisory Services Sdn Bhd, Franciss Chin; Pengamal Undang-undang, Ivan Chan dan Ketua Eksekutif MCM Holdings, Profesor Adjung Maxshangkar.

Selain itu, Pengarah Urusan Kreatif EA Alam Reka Sdn Bhd, Mohd Amin Mohd Yussoff; Ketua Eksekutif Diligent Planners Sdn Bhd, Vince Chia juga akan turut mengambil bahagian dalam pameran yang mula diperkenalkan pada tahun 2016 itu.

Pembeli rumah yang berpotensi dan pelabur hartanah juga berpeluang mendengar pandangan dan bersemuka dengan barisan penceramah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti lain yang disediakan termasuklah cabutan bertuah.

Tiga siri MyRumah yang diadakan sebelum ini di Bangsar, Johor Bahru dan Alor Setar berjaya menarik hampir 15,000 pengunjung dengan 67 unit hartanah terjual dengan nilai RM30 juta.

Sebanyak enam pemaju hartanah akan mempamerkan projek mereka termasuklah Magna Prima Development; Pantai Berkat Sdn Bhd; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor; Seriemas Development Sdn Bhd; Sime Darby Group dan juga Uda Holdings.

Pameran Hartanah MyRumah adalah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Lepro System Bhd (Lepro).

INFO:

* Pameran menumpukan hartanah bernilai di bawah RM500,000, merangkumi pelbagai pilihan jenis rumah bersesuaian.

Berita Harian X