Selasa, 11 April 2017 | 3:13pm
ANTARA unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia.
ANTARA unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia.
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias. - Foto Sairien Nafis
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias. - Foto Sairien Nafis

Lebih banyak kediaman PR1MA diserah tahun ini

ANTARA unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia.
ANTARA unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia.

SELEPAS berhadapan fasa paling sukar sejak penubuhannya hingga menyebabkan kelewatan pembinaan dan penyerahan unit kediaman, Perbadanan PR1MA

Malaysia (PR1MA) kini bertukar gear dalam memasuki fasa berikutnya. Ia sekarang bersedia untuk bergerak pada kadar lebih pantas dan orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak kediaman disiapkan dan kunci diserah kepada pembeli mulai tahun ini.

Masalah utama yang dihadapi PR1MA, iaitu kekurangan tanah berpotensi untuk dimajukan, sebahagian besarnya berjaya dirungkai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias, menjelaskan peringkat awal, iaitu sebelum PR1MA beroperasi pada 2011, tumpuan khusus diberikan kepada tanah milik Kerajaan Persekutuan yang dilihat berpotensi dimajukan kediaman PR1MA di atasnya.

Guna modal baharu

Beliau berkata, daripada 760 hektar tanah Kerajaan Persekutuan yang dikenal pasti itu, pihaknya hanya ditawarkan 43.2 hektar. "Daripada 43.2 hektar itu pula, yang boleh diguna pakai untuk pembangunan cuma 15.6 hektar.

Ini bermakna, PR1MA hanya ada 15.6 hektar untuk memulakan misinya, walhal mandat yang diberikan kerajaan ialah membina 80,000 unit dalam tahun pertama dan sehingga 500,000 untuk tempoh lima tahun.

"Untuk membina 80,000 unit kediaman kita perlu sekitar 80 hektar, manakala bagi membina 500,000 unit kita perlu 4,800 hektar," katanya dalam satu temu bual dengan BH di Petaling Jaya, baru-baru ini. Menyedari model awal tidak berdaya maju, model baharu segera diguna pakai.

Di bawah model baharu, PR1MA tidak membeli tanah, sebaliknya ia membeli projek daripada rakan pemaju, yang mana ia harus terlebih dulu mematuhi garis panduan ditetapkan. Kerjasama dengan pemain industri seperti Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA), Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) dan sebagainya dijalin.

Keutamaan diberikan kepada pemaju dan kontraktor bersaiz kecil dan sederhana setempat, manakala tanah lain yang berpotensi dimajukan, iaitu tanah rizab Melayu, tanah adat dan tanah wakaf, dikenal pasti.

Halangan, kesukaran

Abdul Mutalib berkata, selain tanah, pihaknya turut berhadapan beberapa halangan dan kesukaran lain, seperti mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau memberi contoh pembinaan kediaman bertanah mengambil masa dua tahun untuk dibina. "Itu hanya pembinaan. Sebelum itu, ia perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan kecepatan proses kelulusan bergantung kepada negeri. Paling cepat pun ambil masa enam bulan dan kelulusan diberikan pula tidak menyeluruh tetapi berasaskan projek," katanya.

Beliau mengakui berhadapan fasa paling sukar pada peringkat awal operasinya, tetapi sejak beralih kepada model operasi baharu, keadaan kelihatannya lebih lancar. Secara keseluruhan, Lembaga Pengarah PR1MA sudah meluluskan pembinaan sebanyak 263,366 unit setakat akhir Februari 2017.

Daripada jumlah itu, 131,489 unit sedang dalam pembinaan dan baki di peringkat perancangan dan sebagainya. Jumlah ditempah lebih 12,000 unit setakat Januari 2017. Setakat akhir Februari 2017, sebanyak 606 kunci sudah diserahkan

INFO

  • ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012
  • tujuan merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.
  • harga kediaman PR1MA dijual antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit
  • kediaman PR1MA ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.
Berita Harian X