Rabu, 22 Februari 2017 | 1:07pm

Shanghai destinasi pelaburan hartanah utama Asia Pasifik

Shanghai. - Foto gensler.com
Shanghai. - Foto gensler.com

KUALA LUMPUR: Shanghai berada di kedudukan pertama pilihan utama pelaburan sektor hartanah di Asia Pasifik dan kelima di dunia pada suku keempat 2016.

Data yang dikeluarkan perunding hartanah antarabangsa, JLL, New York masih menjadi pilihan utama pelaburan hartanah dunia diikuti London, Los Angeles dan Paris.

JLL berkata, prestasi kukuh Shanghai itu didorong beberapa transaksi berprofil tinggi termasuk pelaburan aset hartanah tunggal terbesar Asia Pasifik pada Oktober lalu, kompleks Century Link oleh ARA Asset Management bernilai AS2.91 bilion.

"Dalam sektor runcit pula, urus niaga terbesar tahun 2016 membabitkan Pembangunan Chongbang yang menyaksikan 80 peratus pembelian semula kepentingan Shanghai Jinqiao Life Hub untuk AS$825 juta.

"Tawaran penting lain termasuk pembelian portfolio SCPG Holdings Properties oleh Blackstone Group pada harga AS$1.9 bilion, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan JLL China, Joe Zhou, berkata pergolakan politik dunia seperti Brexit dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat, menyaksikan peningkatan jumlah pelabur meninjau peluang di Asia Pasifik khususnya China.

"Permodalan domestik menjadi pemacu utama dalam urus niaga hartanah pada 2016, dengan pelabur tempatan sering membida semula pelabur asing dalam pelbagai transaksi.

"Kami percaya China terutama bandar utamanya kekal menarik kedatangan pelabur asing," katanya.

Urus niaga hartanah Asia Pasifik berkembang sebanyak lima peratus pada 2016 dan 21 peratus pada suku keempat.

Jumlah urus niaga hartanah untuk suku keempat 2016 di China pula berjumlah AS$15.5 manakala Korea Selatan (AS$7.4 bilion) dan Jepun (AS$7.2 bilion).

Ketua Penyelidikan Asia Pasifik JLL, Dr Megan Walters berkata walaupun suasana tidak menentu pada 2016, namun pasaran hartanah kekal positif bagi tahun 2017.

Katanya, hartanah masih menarik modal, mengekalkan nilai dan menjadi bahagian penting portfolio pelaburan global.

"Jumlah pelaburan hartanah akan kekal aktif di pasaran utama seperti Sydney, Tokyo dan Singapura. Kami menjangkakan aktiviti pelaburan hartanah lebih kukuh di India.

"Selain itu pelaburan hartanah juga menunjukkan prospek pertumbuhan lebih baik di negara Asia Tenggara seperti Vietnam dan Filipina," katanya.

Aktiviti pajakan sektor pejabat Asia Pasifik pula melonjak 23 peratus pada suku keempat, sebahagian besar disokong pertumbuhan kukuh di India sebanyak 82 peratus.

Perkhidmatan kewangan dan firma teknologi kekal peneraju utama sektor pejabat di seluruh rantau itu. Kadar sewa meningkat sebanyak 22.5 peratus di Sydney dan 13 peratus di Melbourne.

Berita Harian X