Selasa, 22 November 2016 | 6:29pm

Naza TTDI umum projek MITEC siap

KUALA LUMPUR: Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), komponen utama projek hartanah KL Metropolis berhampiran Sri Hartamas, dianugerahkan Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC).

Ia kini sedia untuk diserahkan kepada Kerajaan.

MITEC adalah ruang pameran terbesar di Malaysia dengan keluasan lantai 1.5 juta kaki persegi, atau empat kali keluasan lantai ditawarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Naza TTDI Sdn Bhd, Idzham Mohd Hashim, menyifatkan MITEC sebagai titik permulaan perkembangan industri perdagangan dan pameran negara pada masa depan.

"Kami sudah menepati komitmen kepada kerajaan untuk melengkapkan MITEC, sebuah bangunan mercu tanda di Kuala Lumpur, yang adalah komponen utama KL Metropolis," katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan media ke pusat pameran itu di sini, hari ini.

Idzham berkata, MITEC adalah satu lagi kejayaan buat Naza TTDI dan berharap melalui pengalaman dan kepakarannya, syarikat itu akan dapat meneruskan langkah dalam projek pembinaan yang lebih mencabar pada masa depan.

Beliau berkata, sebagai destinasi Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), MITEC menawarkan 11 dewan pameran, 10 bilik rehat dan tiga pusat media di bangunan tiga tingkat itu, yang mana setiap tingkat mempunyai ruang punggah masing-masing untuk mengelakkan kesesakan.

MITEC mampu menampung 47,700 pelawat dalam susun atur tempat duduk gaya panggung 28,300 tetamu dalam suasana bankuet dalam satu masa.

Aras 1 dan 2 dilengkapi empat dewan yang mampu menampung majlis bankuet untuk 2,000 hingga 2,700 orang, manakala Aras 3 dilengkapi dewan serba guna yang boleh menampung sehingga 1,080 tetamu dalam suasana bankuet, manakala tiga dewan lagi mempunyai kapasiti bankuet sehingga 2,700 orang.

Idzham berkata, yang menarik pada dewan di Aras 3 ialah ia tidak mempunyai kolum, dan berikutan dewan itu boleh dibuka menjadi satu, sesuai untuk acara sukan.

Restoran, kafe, bilik VIP dan sembilan bilik lain dikhaskan untuk pengelola majlis terletak di Aras 1A, 2A dan 3A.

Menjelaskan konsep seni bina MITEC, beliau berkata bentuk bangunan yang melengkung dibina sempena benih getah sebagai tanda permulaan industri getah asli yang telah menyokong kemajuan awal ekonomi Malaysia.

"MITEC adalah titik permulaan perkembangan negara dalam industri perdagangan dan pameran di masa depan," katanya.

Berita Harian X