Ahad, 2 Jun 2024 | 3:25pm
Abdul Razak (kiri) menyempurnakan Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival di Bandar Melaka hari ini - Foto BERNAMA
Abdul Razak (kiri) menyempurnakan Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival di Bandar Melaka hari ini - Foto BERNAMA

Melaka sasar 50,000 peserta Malaysia Bike Week di MITC

MELAKA: Kerajaan Melaka menyasarkan penyertaan kira-kira 50,000 peserta bermotor sempena penganjuran selama tiga hari Malaysia Bike Week yang bermula 14 hingga 16 Jun depan di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, berkata program anjuran dengan kerjasama Persatuan Superbikers Malaysia itu bukan sahaja menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi malah pelbagai kategori serta motosikal klasik.

"Kita juga telah dimaklumkan daripada persatuan permotoran dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand yang berminat untuk menyertai acara berskala besar ini.

"Selain itu dijangka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan mencemar duli bagi menghadiri Malaysia Bike Week pada 15 Jun itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival di Bandar Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata festival itu juga akan turut mempamerkan pelbagai aset terpilih termasuk motosikal milik Sultan Ibrahim di Dewan B dan C MITC yang dibuka secara percuma kepada pengunjung.

Beliau berkata sempena program itu juga, sebanyak 10 motosikal dan satu kereta Proton X50 turut disediakan khas bagi cabutan nombor bertuah kepada peserta dan pengunjung yang hadir.

"Kita juga telah bersiap sedia 100 peratus dalam menyediakan kemudahan bagi penganjuran program itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang dijangka menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Terdahulu, program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival telah disertai sebanyak 800 pemilik motor klasik dari seluruh negara termasuk Indonesia, Singapura dan Indonesia yang berkampung selama tiga hari di Melaka.

-BERNAMA

Berita Harian X