Jumaat, 24 Mei 2024 | 10:13pm

Nissan perkenal teknologi e-POWER

SERDANG: Sebagai inovator dan perintis kenderaan elektrik, Nissan memperkenalkan mobiliti elektrik melalui teknologi e-POWER.

Sistem pemacu e-POWER adalah teknologi unik Nissan yang menggunakan enjin petrol dan bateri Litium-ion untuk menjana motor elektrik semata-mata untuk memacu roda.

Ia bertindak seperti kenderaan elektrik, memberikan tork serta-merta dan mempunyai pelepasan ekzos dan kos operasi yang lebih rendah berbanding dengan enjin pembakaran tradisional, tetapi tanpa memerlukan pengecasan.

Selain enjin petrol, e-POWER juga menggunakan brek janaan semula untuk memastikan bateri diisi semula.

Semasa memperkenalkan e-POWER di Malaysia Autoshow 2024, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Khoo Cheng Pah, berkata transformasi yang sedang dialami oleh industri automotif kini memberikan cabaran dan peluang yang unik.

"Kenderaan elektrik bateri (BEV) sudah pasti akan menarik perhatian pengguna, tetapi terdapat halangan dalam pengambilan secara besar-besaran.

"Sebagai jenama automotif pertama yang mengeluarkan kenderaan elektrik secara besar-besaran, Nissan LEAF, model yang diperkenalkan oleh ETCM pada 2013, kami bersedia untuk memulakan satu langkah lain dalam memperkasakan elektrifikasi mobiliti untuk rakyat Malaysia melalui e-POWER.

"Proposisi pintar e-POWER menggabungkan pelbagai ciri terbaik sistem pemacu, ciri pemanduan yang menyeronokkan seperti kenderaan EV, kebebasan daripada keperluan untuk mengecas dan penjimatan daripada kenderaan berkuasa petrol yang sangat cekap," katanya.

Kenderaan Nissan yang dikuasakan oleh e-POWER mengekalkan kedudukannya sebagai antara kenderaan terlaris di Jepun dengan pemanduannya yang mengujakan, kecekapan dan kehalusannya, serta tanpa kelemahan daripada pemilikan EV.

"Kami optimis bahawa rakyat Malaysia akan mencapai kesimpulan yang sama apabila kami melancarkan e-POWER pertama kami pada separuh kedua tahun ini," tambah Cheng Pah.

Kawalan motor e-POWER, integrasi rangkaian kuasa dan teknologi pengurusan bateri memanfaatkan pembangunan luas Nissan dalam EV.

Komponen utama sistem e-POWER terdiri daripada bateri Litium-ion, motor elektrik berkuasa tinggi, inverter, generator dan enjin pembakaran dengan kecekapan termal terkemuka dalam kelas.

Tidak seperti hibrid pengecasan sendiri konvensional yang roda terutamanya dipacu secara langsung oleh enjin, sistem kawalan pintar e-POWER pula melaraskan operasi enjin secara bebas berdasarkan faktor seperti kelajuan kenderaan, keadaan jalan raya, tahap pecutan dan tahap pengecasan bateri.

Hasilnya, ia menawarkan pemanduan yang senyap dan diperhalusi dengan operasi enjin yang kurang kerap berbanding dengan hibrid konvensional.

Sama seperti EV, e-POWER juga menawarkan kemudahan pemanduan satu pedal di mana operasi pedal brek boleh dikurangkan hampir 70 peratus melalui brek janaan semula yang boleh memperlahankan kenderaan sambil mengecas semula bateri.

Nissan mengetengahkan teknologi e-POWER pada Malaysia Autoshow 2024.
Berita Harian X