Rabu, 22 Mei 2024 | 1:19pm
smart #3 SUV Coupe dilancarkan pada Malaysia Autoshow 2024 - NSTP/AIZUDDIN SAAD
smart #3 SUV Coupe dilancarkan pada Malaysia Autoshow 2024 - NSTP/AIZUDDIN SAAD

smart Malaysia perkenal model #3 SUV Coupe

SERDANG: smart Malaysia memperkenalkan kereta elektrik (EV) terbaharunya, smart #3 SUV Coupe, sekali gus membuka tempahan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Coupe itu.

Pengenalan smart #3 yang bersempena Malaysia Autoshow 2024 menandakan satu tanda aras yang signifikan bagi smart Malaysia sebagai negara ASEAN pertama menerima tempahan pelanggan bagi model EV berkenaan.

Model smart #3 tampil dengan tiga varian yang menarik iaitu varian BRABUS, Premium dan Pro yang direka khas untuk pasaran di Malaysia.

Sementara itu, smart Malaysia turut mengumumkan struktur harga baharu mampu milik untuk model smart #1 Premium dan Pro.

Harga atas jalan dengan cukai jualan dan perkhidmatan bagi smart #1 Premium ialah RM209,000 berbanding harga terdahulu RM219,000, manakala smart #1 Pro berharga RM169,000 berbanding RM189,999 sebelum ini.

Setiap varian menawarkan ciri-ciri unik, dari segi reka bentuk yang unggul hingga kecekapan pemanduan yang dinamik.

Varian seperti BRABUS dan Premium, kedua-duanya menawarkan pengecas AC 22kWj yang terbaik dalam segmennya dengan keupayaan untuk mengecas bateri anda dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang tiga jam.

Selain itu, smart #3 juga menambah baik teknologi keselamatan terkini, dengan 23 sensor berketepatan tinggi yang menyokong 21 fungsi ADAS demi memastikan keselamatan pemandu di jalan raya.

smart #3 Premium pula menampilkan Panoramic Halo Roof, CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, gril hadapan bercahaya dan bateri NCM 66kWj.

Ia dilengkapi dengan motor 200kW/343Nm yang memacu roda belakang kenderaan, memberikan jarak WLTP sehingga 455 kilometer (km).

Berbeza pula varian smart #3 BRABUS dengan mempamerkan masa pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dan mencapai Mod Rocket Launch dalam masa 3.7 saat.

Untuk memberi kuasa kepada prestasi luar biasa ini, smart #3 BRABUS dilengkapi kuasa pemanduan dwi-motor dengan pacuan empat roda (AWD) 315kW/543Nm, memastikan pengendalian dan daya cengkaman yang luar biasa dan dapat memberikan jarak WLTP sehingga 415km.

Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang, berkata sebagai persediaan unutk penghantaran bagi suku ketiga tahun ini, 13 pengedar rasmi smart telah bersedia sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Dengan ini, smart menjemput orang ramai untuk bersama-sama mengalami perjalanan menuju mobiliti lestari," katanya.

Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menerima barangan rasmi eksklusif smart bernilai sehingga RM1,500.

Tawaran terhad ini dikhaskan kepada 333 pelanggan pertama, dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Berita Harian X