Selasa, 21 Mei 2024 | 11:20am
PROTON S70 R3 - NSTP/MOHD ZAKY ZAINUDDIN
PROTON S70 R3 - NSTP/MOHD ZAKY ZAINUDDIN

PROTON lancar kereta lumba S70 dibangunkan R3 Motorsports

SERDANG: Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan kereta lumba PROTON S70 R3 yang dibangunkan oleh R3 Motorsports pada Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024).

Proton S70 R3 adalah kereta lumba serba baharu pertama Proton R3 sejak Proton Saga R3 pada 2019, menandakan kembalinya jenama berkenaan ke perlumbaan S1K sejak tahun itu.

Setakat hari ini, Proton R3 meraih lima kemenangan lebih banyak daripada pasukan yang lain, termasuk meraih kemenangan selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Jentera lumba serba baharu ini adalah terusan dari legasi perlumbaan PROTON, yang bermula dari era sebelum R3 apabila syarikat bersaing dalam rali dan perlumbaan litar dengan Proton Saga.

Masih lagi dalam pembangunan, kereta yang dipamerkan menampilkan evolusi terbaharu pakej aerodinamik yang disesuaikan untuk kereta lumba ini.

Dua unit kereta baharu ini bakal diperjuangkan oleh pasukan pada perlumbaan Sepang 1,000 kilometer tahun ini.

"PROTON mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada tahun 2003.

"Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaru Saga. Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama PROTON ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh PROTON dan Geely," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

Pembeli dan pengunjung dapat meningkatkan pengalaman di MAS 2024 dengan promosi eksklusif dan ganjaran daripada PROTON sepanjang acara itu.

Pengunjung yang terus membuat tempahan model PROTON akan menerima hadiah eksklusif seperti pelindung matahari, pembaca tol, dan pengecas tanpa wayar untuk model terpilih.

Promosi istimewa juga ditawarkan khusus untuk tempahan yang dibuat di MAS 2024 dengan pendaftaran sebelum 30 Jun 2024 termasuk penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk model X50, X70, dan X90 serta baucar tunai RM500 untuk model PROTON S70, Saga, dan Persona.

Berita Harian X