Selasa, 14 Mei 2024 | 11:22am
Kereta konsep SUV perdana berteknologi tinggi Geely Galaxy Starship mencuri perhatian pada Pameran Automobil Beijing 2024 - Gambar ihsan PROTON
Kereta konsep SUV perdana berteknologi tinggi Geely Galaxy Starship mencuri perhatian pada Pameran Automobil Beijing 2024 - Gambar ihsan PROTON

Pameran Automobil Beijing beri bayangan masa depan PROTON

KUALA LUMPUR: Rakan kongsi teknologi PROTON, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) baru-baru ini mempamerkan pelbagai jenis teknologi inovatif pada Pameran Automobil Beijing 2024.

Antaranya ialah konsep kenderaan utiliti sukan (SUV) perdana berteknologi tinggi, Galaxy Starship, yang menunjukkan komitmen Geely untuk memajukan teknologi automotif.

Ia menandakan peluang besar bagi PROTON untuk memanfaatkan teknologi futuristik Geely dan menawarkan pandangan terhadap teknologi masa depan yang mungkin diadaptasi oleh pengeluar kereta nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata walaupun tiada model dipamerkan antara kerjasama Geely dengan PROTON, syarikat tetap merasakan ia adalah peluang penting untuk mempamerkan model dan teknologi yang mungkin disesuaikan pada masa hadapan.

"Rakyat Malaysia dijangkakan boleh mengalami lebih banyak platform global Geely dan seni bina tenaga baharu yang pintar digabungkan ke dalam model PROTON di masa akan datang, memacu kepada era baharu kecerdasan buatan yang komprehensif dalam industri automotif di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan langkah global ke arah kenderaan tenaga baharu, paparan Geely juga termasuk mempamerkan perkembangan terobosan dalam rangkaian kuasa elektrik dan hibrid, serta pengenalan seni bina termaju seperti Seni Bina Pengalaman Lestari (SEA) dan Seni Bina Modular Kompak (CMA) untuk model masa hadapan.

Galaxy Starship berasaskan seni bina elektrik Geely dan menyepadukan berbilang teknologi rangkain kuasa serta memperkayakan pengalaman pengguna dengan kecerdasan buatan telah disokong oleh FlymeAuto daripada Meizu.

Pintu bersayap camar yang besar juga terbuka kepada bahagian dalam yang luar biasa dengan tempat duduk berbilang fungsi, mempamerkan reka bentuk masa depan yang berpotensi untuk dalaman kenderaan.

Selain mendapatkan pendapat umum dan mempamerkan arah reka bentuk teknologi dalam pameran ini, ia boleh dimasukkan ke dalam strategi produk PROTON untuk menggabungkan ciri-ciri canggih dan meningkatkan prestasi merentas model masa depan.

Media tempatan terpilih juga mendapat peluang untuk melihat dengan lebih dekat model ketiga smart berasaskan SEA, iaitu SUV smart #5 dengan binaan yang kukuh dan tahan lasak.

Dengan ketibaan model smart #3 di Malaysia pada tahun ini, rangkaian tawaran daripada syarikat itu yang merupakan kerjasama antara Geely dan Kumpulan Daimler dijangka meningkat dalam masa terdekat.

Selain menghadiri Pameran Automobil Beijing, media juga dijemput untuk memandu uji pelbagai model Kumpulan Geely dan lawatan ke kemudahan canggih syarikat di Institut Penyelidikan Geely (GRI), Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Powertrain Geely di Teluk Hangzhou.

Sementara itu, pandu uji untuk media juga diadakan di Beijing Goldenport Motor Park dengan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu di bawah Kumpulan Geely.

Ini menyerlahkan aplikasi praktikal teknologi seperti powertren Thor dan memberikan pengalaman langsung kepada media terhadap teknologi yang berpotensi diadaptasi oleh EV keluaran PROTON masa hadapan.

Berita Harian X