Khamis, 9 Mei 2024 | 1:57pm
Tengku Zafrul mengadakan pertemuan dengan pihak VGM - Foto laman X rasmi Tengku Zafrul
Tengku Zafrul mengadakan pertemuan dengan pihak VGM - Foto laman X rasmi Tengku Zafrul

Volkswagen rancang jadikan Malaysia sebagai hab eksport

KUALA LUMPUR: Volkswagen Group Malaysia (VGM) merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport bagi jenama Volkswagen, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di laman X hari ini, beliau memaklumkan bahawa dalam pertemuan bersama pihak VGM, mereka telah berkongsi perancangan itu.

"Selain model konvensional, VMG turut merancang untuk mengeluarkan EV (kenderaan elektrik) di Malaysia," katanya.

Beliau yakin kerjasama itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena automotif serantau.

"Kalau dulu kita import Volkswagen, sekarang ni sesetengah model dah dipasang di Malaysia. Antara model yang dipasang di Malaysia ialah Touareg. Ini adalah kali pertama model Touareg dipasang di luar Eropah," katanya.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pada Mac lalu secara rasmi memperkenalkan model Touareg R-Line pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Memasuki generasi ketiga, model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu adalah yang pertama dipasang di luar kilangnya yang terletak di Slovakia.

"Touareg membawa kepentingan terbesar untuk Volkswagen dan merupakan perintis dalam banyak cara. Ini adalah SUV pertama kami, DNA SUV Volkswagen benar-benar bermula dengan Touareg. Menjadi negara pertama yang memasang Touareg secara tempatan di luar kilangnya di Slovakia adalah satu pengiktirafan besar daripada Volkswagen Group.

"Sebagai tawaran terbaik kami, saya percaya Touareg akan menarik sekumpulan pelanggan dalam segmen SUV premium yang mencari sesuatu yang istimewa. Dengan reka bentuk yang hebat dan senarai teknologi perintis, Touareg akan membezakannya dengan pemandu SUV lain," kata Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev.

Berita Harian X