Jumaat, 3 Mei 2024 | 3:35pm
Mercedes-Benz CLE 300 4Matic Coupé.
Mercedes-Benz CLE 300 4Matic Coupé.

Mercedes-Benz CLE 300 4Matic Coupé diperkenal bermula RM518,888

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan Mercedes-Benz CLE 300 4Matic Coupé yang ditawarkan pada harga bermula RM518,888.

Jentera baharu dua pintu itu hadir dengan tradisi lama kereta sporty dan elegan dengan menampilkan gabungan sempurna inovasi konsep dan teknikal daripada C-Class dan E-Class.

Model ini menggunakan enjin M256 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang menghasilkan sebanyak 258 kuasa kuda (hp) pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm.

Ia turut disertai dengan ciri sistem mild-hybrid 48-volt EQ Boost yang memanfaatkan integrated starter generator (ISG) yang menyediakan tujahan sementara sebanyak 23 PS (23 hp atau 17 kW) dan 205 kW.

Sebagai tambahan, ISG berkenaan membolehkan operasi fungsi Start/Stop yang lebih lancar serta memberikan dorongan dalam kelajuan enjin yang rendah.

Digandingkan dengan transmisi automatic 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j.

Bagi ukuran dimensinya, CLE serba baru ini 4,850 milimeter (mm) panjang, 1,860 mm lebar, 1,428 mm tinggi dan jarak roda 2,865 mm.

Menjengah ke dalam kabin, jentera ini hadir dengan konfigurasi tempat duduk 2+2 yang mirip C-Class, ada paparan menegak skrin di tengah dengan saiz 11.9-inci.

Ia menjadi antara muka bagi Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang juga mengisi kluster instrumen digital 12.3-inci dan head-up display yang disokong dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

Untuk pasaran tempatan, CLE datang lengkap dengan lampu utama Digital Light dengan fungsi Adaptive Highbeam Assist Plus.

Pakej AMG Line juga adalah standard, dengan rekaan bampar yang lebih agresif, dan disempurnakan oleh pakej Night yang hadir dengan kemasan hitam berkilat untuk bahagian gril dan juga rim AMG 19-inci dan juga spoiler AMG.

Kelengkapan lain termasuklah bumbung panoramik, MBUX Interior Assistant, perincian logam bagi kemasan dalaman, kerusi balutan kulit, konsol tengah dengan penyudah fabrik campuran dengan kemasan logam, kerusi depan berpendingin dan fungsi memori, sistem bunyi Burmester 3D, lampu ambient, Keyless-Go, fungsi bebas operasi tangan dan Easy-Entry untuk kerusi belakang.

Dari aspek keselamatan, CLE 300 4Matic Coupé menerima Driving Assistance Package Plus, yang antara lain terdiri daripada ciri Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Emergency Stop Assist, Active Brake Assist, sokongan belokan evasif, Active Blind Spot Assist, Pre-Safe, Pre-Safe Impulse Side, Memory Parking Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic dan kamera 360 darjah.

Berita Harian X