Khamis, 2 Mei 2024 | 10:38am
PROTON mengakhiri 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012 - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
PROTON mengakhiri 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012 - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

PROTON kekal sasaran rekod jualan terbaik sejak 2012

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) mengekalkan unjuran prestasi jualan positif tahun ini melepasi angka 154,611 unit yang dicatatkan pada 2023, sekali gus bakal menjadi pencapaian terbaiknya sejak 2012 sekiranya dicapai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata walaupun sasaran jualan adalah sesuatu yang bersifat subjektif, sasaran jualan 2024 dijangka lebih tinggi dipacu jualan positif daripada model siri X dan Saga.

"Kemajuan memenuhi pesanan dalam keadaan yang baik ketika ini, di mana jumlah tempahan tertunggak kami sekitar 30,000 hingga 40,000 unit, manakala tempoh menunggu lebih pendek kepada satu atau dua bulan sahaja," katanya kepada BH.

PROTON mengakhiri 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012, apabila menjual 154,611 unit untuk pasaran domestik dan eksport.

Pencapaian jualan tahun lalu itu adalah rekod pertumbuhan bagi lima tahun berturut-turut, mengatasi rekod puncaknya iaitu 141,432 unit yang dijual pada 2022.

Jualan 2023 mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 2022. Penguasaan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 794,948 unit.

Pada 2023, ia menjadi satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif disokong jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding jumlah tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya 12 bulan sebelumnya.

Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac mendorong peningkatan jumlah pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga menjadi tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti.

Mengulas mengenai pasaran eksport, Roslan berkata, PROTON dijangka meraih jualan lebih baik kepada 5,000 hingga 6,000 unit tahun ini, selepas beberapa pasaran eksport kembali pulih daripada beberapa krisis dan isu.

Katanya, pengeluar kereta nasional itu akan memasuki semula pasaran Sri Lanka dan memantau perkembangan di Pakistan untuk merancakkan semula pasaran eksport PROTON.

"Kita sudah masuk ke Bangladesh. Sri Lanka pula kita akan kembali. PROTON menetapkan tumpuan kepada Afrika Selatan dan negara-negara Afrika," katanya.

Beliau menjelaskan, sasaran eksport tahun adalah kecil berbanding domestik, tetapi berkembang secara organik untuk menyumbang sekitar dua peratus kepada keseluruhan jualan syarikat.

Katanya, sasaran eksport tahun lalu adalah 10,000 unit, tetapi terjejas disebabkan krisis di Pakistan yang menjadi penyumbang terbesar kepada pasaran luar negara PROTON.

"Eksport kita di Pakistan terjejas sebab isu 'Letter of Credit' (LC) di mana kerajaan negara berkenaan memberi tumpuan khusus kepada keterjaminan makanan," katanya.

Roslan berkata, PROTON juga bersedia mengembangkan eksport Proton S70 ke beberapa negara, dengan Brunei menjadi negara pertama menerima model sedan serba baharu itu.

"Fokus PROTON untuk stabilkan permintaan domestik (untuk S70) terlebih dahulu. Buat masa ini, model yang dieksport ke luar negara ialah Proton X70, X50 dan Saga," katanya.

Berita Harian X