Isnin, 29 April 2024 | 2:06pm

PROTON buka fasiliti R&D di Teluk Hangzhou China

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China baru-baru ini untuk mengukuhkan usaha kerjasama dengan rakan kongsi Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) dalam langkah untuk melengkapkan kemudahan sedia ada di Malaysia.

Bertempat di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI) di Teluk Hangzhou, pembukaan pusat R&D Proton (China) juga bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

"Pusat R&D baharu itu menandakan pembangunan bersama antara Proton dan Geely di mana konsep baharu merentasi semua bidang diwujudkan, membabitkan penyepaduan atasan dan platform untuk ICE dan model EV masa hadapan sehingga kepada pemanduan pintar, dan pengurusan projek.

"Ini termasuk menaik taraf model buatan sendiri Proton, pusat itu akan memanfaatkan sumber bersamanya dengan bantuan Geely dalam kerja yang diketuai oleh jurutera R&D Proton di Malaysia. Selain itu, Proton juga dapat meningkatkan daya saingnya dengan jejak global Geely," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ia juga akan berperanan sebagai platform penghubung yang penting untuk Proton membabitkan diri dengan vendor yang berkebolehan untuk pembangunan secara berterusan di Automotif High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak serta memberi tumpuan kepada bidang kitaran hayat perniagaan penuh seperti kualiti, pemerolehan dan pembuatan.

Pusat R&D Proton itu mempunyai tiga jabatan untuk memastikan operasi yang lancar iaitu Institut Penyelidikan Pusat, Pusat Pembangunan Perisikan Data dan Pusat Pendigitalan R&D.

Acara itu dirasmikan oleh Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Geely Auto, Jerry Gan; Presiden Institut Penyelidikan Automotif Zhejiang Geely Li Chuanhai; Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Daerah Baru Teluk Hangzhou, Cai Shijie; Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

– Bernama

Berita Harian X