Jumaat, 26 April 2024 | 11:01am
Model 3 (kiri) dan Model Y - Gambar ihsan Tesla Malaysia
Model 3 (kiri) dan Model Y - Gambar ihsan Tesla Malaysia

Tesla turunkan harga jualan kereta elektrik di Malaysia

KUALA LUMPUR: Tesla mengumumkan penurunan harga sebanyak RM8,000 bagi Model 3 dan Model Y, menjadikan kedua-dua kenderaan elektrik (EV) itu lebih berpatutan dan boleh dibeli oleh khalayak pengguna lebih meluas.

Berkuat kuasa hari ini, Model 3 dan model Y masing-masing berharga daripada RM181,000 dan RM191,000, dengan kedua-dua EV itu boleh ditempah di pusat pengalaman Tesla atau laman web rasmi Tesla.

Tesla Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kenderaan Tesla layak mendapat pengecualian duti import dan eksais penuh sebagai pengecualian cukai jalan 100 peratus, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan berkaitan mengecas EV.

"Tesla terus memberikan pengalaman pemilikan yang komprehensif dengan menyediakan penyelesaian pengecasan yang lancar dan penyepaduan teknologi 'Plug and Charge' yang terbaik untuk menggambarkan pengalaman pengecasan Tesla," katanya.

Melalui Aplikasi Tesla, pengguna boleh mencari, menavigasi dan memantau status Supercharger dengan mudah, menerusi pembayaran diproses secara automatik.

Dengan bayaran Pengecasan Super setiap penggunaan sebanyak RM 1.25/kWj, Tesla memastikan pengecasan yang cekap kos

Sehingga hari ini, Tesla mempunyai tujuh stesen Pengecas Super (36 pengecas) dan 10 stesen Pengecasan Destinasi (61 pengecas) di Malaysia, dengan pengembangan berterusan untuk memudahkan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, di mana terdapat 11 stesen pengecasan super dan sembilan stesen Pengecasan Destinasi.

Tesla komited untuk terus memajukan infrastruktur pengecasannya di Malaysia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan itu di seluruh rantau.

Berita Harian X