Khamis, 25 April 2024 | 3:04pm
Toyota Yaris G Limited - Gambar ihsan UMWT
Toyota Yaris G Limited - Gambar ihsan UMWT

Toyota Yaris G Limited dilancar harga bermula RM99,600

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan hatchback segmen-B, Toyota Yaris G Limited yang ditawarkan pada harga bermula RM99,600.

Versi yang ditawarkan secara terhad hanya 600 unit di Malaysia itu tampil dengan inovasi automotif, yang menawarkan peningkatan prestasi lebih baik, pengendalian yang dipertingkatkan dan reka bentuk yang bergaya.

Ditetapkan sebagai penanda aras baharu bagi pasaran hatchback segmen-B bukan nasional, Toyota Yaris G Limited tersedia dalam pelbagai warna, termasuk pakej dalaman 2-Tona Sporty untuk disesuaikan dengan gaya hidup dan prestasi.

Toyota Yaris G Limited turut didatangkan dengan waranti perbatuan tanpa had selama 5-tahun penuh, selain dilengkapi dengan perlindungan komponen prestasi selama satu tahun atau 20,000 kilometer (km), bagi memastikan tahap jaminan tambahan untuk pengalaman pemanduan lebih baik.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran, berkata Yaris G Limited adalah bukti komitmen Toyota untuk menjangkaui sempadan dan mentakrifkan semula pengalaman pemanduan.

"Dengan ciri canggih dan keupayaan dinamiknya yang meningkatkan barisan Yaris yang sedia ada, versi G Limited menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik, memenuhi permintaan pelanggan yang mencari gabungan kecanggihan dan keseronokan," katanya dalam satu kenyataan.

Melengkapkan kejuruteraan mantap, Toyota Yaris G Limited hadir dengan sistem suspensi yang ditala untuk meningkatkan keupayaan selekoh dan responsif, memberikan prestasi pemanduan yang lebih sporty pada setiap selekoh.

Selain itu, casis menerima gabungan terbaik dengan cengkaman tayar yang lebih baik dan kawalan stereng yang tepat memastikan pengendalian dan membolehkan pemandu berasa terhubung sepenuhnya dengan jalan raya.

Dilengkapi dengan pelbagai peningkatan prestasi, Toyota Yaris G Limited memberikan pemanduan dan pengendalian yang fleksibel, serta kuasa yang dipertingkatkan yang memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Pengawal pendikit dan 'intake' udara sejuk meningkatkan prestasinya, sekali gus memastikan pecutan pantas dan pengalaman pemanduan menyeronokkan.

Mendapat inspirasi daripada sejarah meluas Toyota dalam sukan permotoran, Yaris G Limited dengan bangganya memakai lambang 'LIMITED', melambangkan status eksklusif dan prestasinya.

Model edisi terhad itu menawarkan prestasi dan gaya yang dipertingkatkan, melambangkan komitmen Toyota untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menggembirakan untuk semua, tambah Ravindran.

Berita Harian X