Rabu, 24 April 2024 | 3:42pm
Segmen pasaran pertengahan mungkin sedikit terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api -NSTP/MOHD ADAM ARININ
Segmen pasaran pertengahan mungkin sedikit terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api -NSTP/MOHD ADAM ARININ

Kereta baharu masih barangan mewah mampu milik rakyat

KUALA LUMPUR: Kereta baharu masih lagi menjadi barangan mewah mampu milik bagi kebanyakan isi rumah di Malaysia di sebalik kadar inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan, demikian menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Penganalisis bank pelaburan itu, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, ia disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh disokong oleh kestabilan ekonomi dan pasaran pekerjaan yang sihat.

"(Selain itu) kenderaan motor yang mampu milik disokong oleh harga kereta baharu yang stabil berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu (yang boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat antara lapan hingga 20 peratus) dan kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah baki pengurangan dalam pengiraan caj faedah, selain model baharu yang menarik.

"Kami percaya perniagaan akan berjalan seperti biasa untuk segmen mampu milik kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan B40, akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan dan juga berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

"Bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh diperkatakan untuk segmen pasaran pertengahan sebagai pelanggan sasaran, iaitu kumpulan M40 yang mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu (atau bertukar kepada kereta yang lebih kecil untuk mengurangkan bil bahan api) selepas pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api," katanya.

Secara umumnya, beliau berkata bahawa keterlihatan pendapatan industri automotif tempatan masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 200,000 unit pada akhir Februari 2024.

"Lebih separuh daripada tunggakan ini terdiri daripada model baharu, menunjukkan betapa menariknya model baharu kepada pembeli kereta. Trend ini berkemungkinan berterusan sepanjang tahun 2024 memandangkan barisan pelancaran baharu yang kukuh," katanya.

Wan Mustaqim berkata, jualan kenderaan akan turut disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV lain sehingga tahun 2025 untuk kereta diimport sepenuhnya (CBU) dan tahun 2027 untuk kereta pemasangan tempatan (CKD).

"Pendaftaran baharu BEV telah melonjak daripada 274 unit pada tahun 2021 kepada lebih 3,400 unit pada tahun 2022 dan 10,159 unit pada tahun 2023, dengan 2,703 unit untuk 2024 sehingga hari ini.

"Kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran nasional untuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2030 dan 38 peratus daripada TIV pada 2040.

"Sementara itu, ikrar daripada kerajaan untuk membolehkan pengendali pusat pengecasan mendapatkan kelulusan yang lebih pantas untuk pemasangan memberikan keselesaan kerana pada masa ini hanya 2,020 stesen pengecas EV telah dibina," katanya.

Berita Harian X