Selasa, 16 April 2024 | 9:53pm
Saham Tesla jatuh 2.5 peratus dalam dagangan awal pasaran hari ini - Foto AFP
Saham Tesla jatuh 2.5 peratus dalam dagangan awal pasaran hari ini - Foto AFP

Tesla buang 10 peratus pekerja termasuk di AS, China

SHANGHAI/BERLIN: Tesla mengumumkan pemberhentian kerja global termasuk mengurangkan jumlah kakitangan di Amerika Syarikat (AS) dan China, dua pasaran terbesar pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu merentasi bahagian jualan, teknologi dan kejuruteraan, demikian menurut lima sumber yang diberikan taklimat mengenai perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk semalam memberitahu kakitangan dalam satu memo dalaman yang dilihat oleh Reuters bahawa syarikat itu memberhentikan lebih daripada 10 peratus tenaga kerja globalnya, kerana ia bergelut dengan kemerosotan jualan dan persaingan harga yang semakin sengit untuk EV.

Beberapa pusat perkhidmatan yang berpangkalan di AS menyaksikan pemberhentian besar-besaran berkuat kuasa serta-merta, terutamanya kakitangan jualan dan juruteknik, kata satu sumber.

Satu lagi lokasi memberhentikan semua kakitangan barisan hadapan, kata sumber itu.

Seorang pengurus program Tesla di California menyiarkan satu senarai di LinkedIn yang mengandungi lebih 140 kakitangan, kebanyakannya jurutera, yang telah diberhentikan dan sedang mencari pekerjaan baharu.

Dua sumber berkata, kakitangan jualan Tesla di China dimaklumkan bahawa khidmat mereka tidak diperlukan, dengan seorang menyatakan lebih daripada 10 peratus diberhentikan kerja.

Sumber ketiga berkata bahawa di Shanghai, lokasi kilang terbesar Tesla, syarikat itu hanya akan memberhentikan sebahagian kecil kakitangan, seramai 'beberapa dozen'.

Saham Tesla jatuh 2.5 peratus dalam dagangan awal pasaran hari ini. Saham syarikat itu jatuh 5.6 peratus semalam.

Ibu pejabat Tesla di AS dan unitnya di China tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

Semua sumber enggan dinamakan kerana mereka tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Kerajaan Shanghai dan Beijing juga tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

Tesla Jerman menafikan laporan dalam media di negara itu bahawa 3,000 daripada kira-kira 12,000 kakitangan pembuat kereta itu telah dipecat, dan berkata ia sedang menilai kaedah untuk melaksanakan arahan Musk di kilang itu.

-Reuters

Berita Harian X