Selasa, 16 April 2024 | 2:59pm
Yeoh menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kumpulan Sunway dengan IKTBN Dusun Tua - Gambar ihsan Sunway
Yeoh menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kumpulan Sunway dengan IKTBN Dusun Tua - Gambar ihsan Sunway

Sunway, IKTBN Dusun Tua bekerjasama tawar latihan EV

KUALA LUMPUR: Kumpulan Sunway menjalin kerjasama strategik dengan Institut Latihan Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Dusun Tua bagi menawarkan latihan dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik (EV).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata IKTBN Dusun Tua yang juga sekolah vokasional awam di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bersama dengan Kumpulan Sunway berkongsi pengetahuan dalam bidang elektrik dan mekanikal serta teknologi automotif.

"IKTBN Dusun Tua akan menjalin kerjasama dengan Sunway dalam memberikan pendedahan awal teknologi EV kepada pelajar dalam bidang teknologi automotif. Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sedang merintis pendidikan dan latihan dalam sistem EV.

"Kerjasama pihak swasta ini boleh menerangi laluan yang lebih baik dalam bidang ini," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Sunway, Foo Shiang Wyne, pula berkata, menjelang 2025, dianggarkan 200 pelajar akan mengikuti kursus EV sepenuh masa di salah satu daripada tiga sekolah vokasional KBS di Dusun Tua, Selangor; Chembong, Negeri Sembilan dan Jitra, Kedah.

Katanya, 500 pekerja lagi akan mendaftar secara kursus peningkatan kemahiran jangka pendek dalam penyelenggaraan dan pembaikan EV.

"Kerjasama dengan IKTBN Dusun Tua adalah satu lagi contoh komitmen Sunway terhadap pertumbuhan dan pembangunan sektor TVET dalam menyediakan ruang untuk golongan muda Malaysia memperoleh kemahiran berkaitan industri yang memenuhi permintaan ekonomi yang sentiasa berubah.

"Diterajui oleh bahagian perniagaan perdagangan dan pembuatan Sunway serta pengurusan hartanah dan kemudahan, inisiatif ini akan membabitkan kandungan kurikulum IKTBN Dusun Tua, pemindahan pengetahuan antara pengajar TVET dan eksekutif Sunway serta rangkaian industri melalui penempatan latihan," katanya.

Berita Harian X