Khamis, 4 April 2024 | 4:16pm
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) -NSTP/GENES GULITAH
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) -NSTP/GENES GULITAH

UMW Toyota Motor jual 23,444 unit kereta dalam tiga bulan

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) meraih prestasi jualan positif apabila menjual 23,444 unit kenderaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Bagi jualan bulanan, UMWT meneruskan momentum pendaftaran kenderaan memberangsangkan apabila menjual 9,688 unit pada Mac merangkumi 9,471 unit model Toyota dan 217 unit Lexus.

Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata komitmen syarikat melangkaui penghantaran kenderaan berprestasi tinggi, malah memberi tumpuan kepada kualiti produk, bagi memastikan ia memenuhi keperluan pelanggan.

"Dengan memenuhi pelbagai segmen, termasuk sektor komersial, kami menunjukkan dedikasi terhadap keterangkuman dan inovasi. Kami berada di sini untuk membuktikan bahawa Toyota adalah jenama untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu langkah penting ke arah mobiliti mampan, UMWT baru-baru ini telah bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan menyerahkan Toyota Mirai.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluasnya terhadap neutraliti karbon, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) negara.

Penyerahan Toyota Mirai bertujuan untuk menyokong dan menunjukkan daya maju, kecekapan dan menguna pakai penyelesaian mobiliti berkuasa hidrogen untuk negara.

Ravindran berkata, peranan UMWT melangkaui pembuatan automotif, tetapi sebagai rakan kongsi dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan yang mampan dan mesra alam.

"Kami komited untuk mewujudkan dunia yang mampan, lebih hijau dan lebih terhubung, selaras dengan slogan kami 'Move Your World'," katanya.

Dalam sektor komersial, UMWT telah memperkenalkan Toyota HiAce Panel Van 3.0L serba baharu.

Model itu menetapkan standard baharu dalam segmen kenderaan komersial dengan ciri terbaik termasuk panjang muatan 2,900 milimeter (mm) dan enjin turbo-diesel 3.0 liter yang dipertingkatkan.

Ia memberikan kuasa maksimum 136 PS dan tork puncak 300 Nm, memudahkan pengangkutan kargo.

Bagi mempertingkatkan lagi barisan kenderaan komersialnya, UMWT mengumumkan pra-tempahan untuk Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) yang menawarkan peningkatan saiz yang ketara untuk ruang dalaman yang lebih besar, menawarkan keselesaan kepada penumpang dan kargo.

Dilengkapi dengan enjin turbo-diesel berkuasa 2.7 liter, HiAce SLWB menjanjikan prestasi mantap dengan 177 PS dan tork 450 Nm.

Berita Harian X