Khamis, 4 April 2024 | 1:05pm
PROTON menjual 18,247 unit Saga pada tiga bulan pertama tahun ini.
PROTON menjual 18,247 unit Saga pada tiga bulan pertama tahun ini.

PROTON jual 39,150 unit kereta pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) meneruskan momentum jualan positif apabila menutup suku pertama 2024 dengan jualan berjumlah 39,150 unit bagi pasaran domestik dan eksport selepas menjual sejumlah 12,666 unit kenderaan pada Mac.

Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan berjumlah 202,492 unit untuk tiga bulan pertama 2024, bersamaan dengan pertumbuhan 5.1 peratus.

Pegangan pasaran untuk PROTON dianggarkan pada 19.3 peratus, kedua tertinggi di antara semua jenama automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata suku pertama 2024 berakhir secara positif untuk PROTON.

"Tanpa faktor luaran yang meggalakkan pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat. Industri automotif di Malaysia terus rancak dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV.

"Untuk sepanjang tahun ini, PROTON akan mencari pertumbuhan jualan yang berterusan dengan bekerjasama rapat dengan vendor kami untuk menghasilkan lebih banyak unit model terlaris seperti Proton Saga dan Proton S70, sambil terus membina jumlah jualan eksport.

"Kami yakin dapat memenuhi sasaran pertumbuhan sambil berusaha ke arah komitmen yang lain seperti pembangunan dan pengenalan model EV berjenama sendiri pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Proton Saga mencatatkan jumlah jualan suku pertama terbaik sejak 2013 sementara S70 menguasai segmen pasarannya.

PROTON berkata, walaupun pelancaran model baharu terus berkembang pesat di Malaysia, permintaan untuk kenderaan yang boleh dipercayai, memuaskan dengan ciri yang penting pada harga yang mampu milik masih kekal kukuh.

"Jualan Proton Saga membuktikan kenyataan ini dengan 18,247 unit dijual pada tiga bulan pertama tahun ini, prestasi suku pertama tertingginya dalam 12 tahun.

"Pada Mac, 5,906 unit telah dijual termasuk 93 unit untuk pasaran eksport, meletakkan model itu di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A.

"Proton S70 pula telah membuka segmen pasaran baharu bagi Proton dengan 2,072 unit dijual pada Mac (35 unit eksport) menjadikan jumlah jualan bagi suku pertama 5,828 unit.

"Walaupun jumlah pengeluaran masih mengejar permintaan, peneraju kelas sedan segmen C kini menjadi model kedua terlaris dalam rangkaian Proton," katanya.

PROTON juga kekal sebagai antara jenama utama dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi tiga modelnya.

Proton X50 mencatat jualan 1,626 unit, manakala Proton X70 meningkat 35.5 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 603 unit dijual.

Kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama syarikat, Proton X90, mengekalkan kedudukan kukuhnya di pasaran SUV segmen D dengan 326 unit di hantarkan kepada pelanggan pada Mac.

Jualan Proton Persona sebanyak 1,665 unit pula menjadikan jumlah jualan suku pertama meningkat kepada 5,370 unit dan meletakkannya sebagai sedan segmen B kedua paling popular di negara ini, manakala Proton Iriz mencapai 468 unit pada bulan Mac dan 1,534 unit untuk suku pertama dan dapat mengekalkan kedudukan keempat dalam segmen pasarannya.

Berita Harian X