Isnin, 1 April 2024 | 12:47pm
Gambar fail. Pengecas kenderaan elektrik. - NSTP / AZIAH AZMEE
Gambar fail. Pengecas kenderaan elektrik. - NSTP / AZIAH AZMEE

Penggunaan EV dijangka meningkat ketara pada 2026 - BIMB Securities

KUALA LUMPUR: Penggunaan kereta elektrik (EV) pada skala besar dijangka berlaku pada 2026 didorong penyertaan pengeluar nasional yang dijangka menawarkan harga kompetitif.

Justeru, penganalisis BIMB Securities Research, Sabariah Akhair, berkata sokong kerajaan kekal penting ketika pengeluar tempatan bakal melancarkan model EV tahun hadapan.

"Pada pandangan kami, dengan jangkaan ketibaan EV nasional pada 2025, langkah melanjutkan pengecualian cukai jalan menjangkaui Disember 2025 akan mempercepatkan penggunaan EV.

"Selain itu, pemberian insentif seperti pengecualian duti eksais dan cukai jualan untuk komponen EV pemasangan tempatan, yang luput pada Disember 2027, akan memberi manfaat besar kepada pengeluar EV negara," katanya.

Mengulas lanjut, Sabariah berkata, pemberian subsidi atau pelepasan cukai untuk menyokong pemasangan infrastruktur pengecasan bagi kediaman yang berakhir pada 31 Disember 2027 juga akan mempercepatkan lagi penggunaan EV.

"Malaysia kini mempunyai 2,020 titik pengecasan, dengan sasaran mencapai 10,000 menjelang 2025. Untuk mencapai matlamat ini, negara memerlukan pemasangan kira-kira 371 titik pengecasan AC dan 29 DC setiap bulan," katanya.

Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Februari susut 4.0 peratus bulan ke bulan kepada 62,833 unit terutamanya disebabkan oleh penurunan 8.0 peratus bulan ke bulan dalam jualan kereta Perodua kepada 27,315 unit.

"Bagaimanapun, jualan kereta nasional hanya menurun sebanyak 4.4 peratus bulan ke bulan kepada 40,571 unit. Daya tahan ini disokong oleh jualan yang lebih kukuh oleh Proton yang didorong oleh pelancaran model baharunya, sedan S70," katanya.

Sabariah berkata, secara keseluruhannya, jualan bagi tempoh dua bulan pertama 2024 berada pada 128,332 unit, menunjukkan peningkatan 12.8 peratus tahun ke tahun berbanding 113,729 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kami menjangkakan bahawa kos sara hidup yang lebih tinggi akan memberi kesan negatif terhadap nombor TIV, terutamanya pada separuh kedua tahun in.

"BIMB Securities Research kekal NEUTRAL untuk sektor automotif dengan jangkaan TIV akan kembali normal pada 2024, manakala unjuran kami adalah 650,000 unit tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, jualan segmen bukan nasional merosot sebanyak 10 peratus tahun ke tahun dan 3.0 peratus bulan ke bulan kepada kepada 22,262 unit pada Februari 2024.

Ini diheret terutamanya oleh prestasi kenderaan komersial yang lebih lemah yang susut sebanyak 31.9 peratus tahun ke tahun dan 20.5 peratus bulan ke bulan.

Bagaimanapun, jualan kenderaan penumpang bukan nasional kekal teguh dengan jualan Mazda meningkat sebanyak 32 peratus bulan ke bulan kepada kepada 1,722 unit, manakala jualan Toyota meningkat 17 peratus kepada 7,347 unit.

Berita Harian X