Jumaat, 22 March 2024 | 2:05pm
Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao (tiga dari kiri) bersama Gan (empat dari kanan) ketika pelancaran pusat 3S BYD Sing Kwung di Melaka.
Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao (tiga dari kiri) bersama Gan (empat dari kanan) ketika pelancaran pusat 3S BYD Sing Kwung di Melaka.

BYD buka pusat 3S baharu di Melaka

MELAKA: BYD, peneraju kenderaan elektrik (EV) global melancarkan pusat 3S terbaharunya yang berada di tengah-tengah bandar Melaka.

Pusat baharu itu yang diuruskan oleh BYD Sing Kwung Motors dijangka dapat menyediakan perkhidmatan jualan dan lepas jualan kepada pelanggan BYD di kawasan ini.

Pelancaran pusat 3S serba canggih itu melambangkan komitmen jenama itu untuk meluaskan operasinya di Malaysia.

Dengan kedudukan strategik di Melaka, bilik pameran baharu ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kenderaan elektrik BYD dan menyokong kumpulan pelanggan BYD yang sedia ada di kawasan ini.

"Kami teruja untuk merasmikan pusat 3S terbaharu kami di Melaka, yang membuktikan dedikasi kami untuk berkhidmat kepada pelanggan di Malaysia.

"Mercu jaya ini mencerminkan komitmen berterusan BYD untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik sambil menyumbang kepada pembangunan pengangkutan lestari di kawasan ini," kata Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan BYD Sing Kwung Motors, Ng Sin Yean pula berkata, pusat 3S yang baru dibuka akan menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk rundingan jualan, pandu uji kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan.

"Pelanggan boleh meneroka model terbaharu kenderaan elektrik BYD yang terkenal dari segi kecanggihan teknologi, keunggulan prestasi dan kelebihan ciri mesra alamnya," katanya.

Dengan pembukaan pusat 3S baharu itu, BYD menekankan komitmen kepada pengangkutan lestari dan inovasi di Melaka.

Dengan sasaran mencapai 30 pengedar rangkaian di negara ini menjelang akhir 2024, syarikat berharap untuk terus mengukuhkan kedudukan di rantau ini.

Berita Harian X