Khamis, 21 March 2024 | 12:09pm
Roslan (kanan) memerhati proses pemasangan cermin gelap di salah sebuah kemudahan PROTON.
Roslan (kanan) memerhati proses pemasangan cermin gelap di salah sebuah kemudahan PROTON.

PROTON buka pusat pasang filem penapis haba

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap atau filem penapis haba yang terletak di kemudahan pengeluarannya di Tanjung Malim, Perak.

Dalam satu kenyataan, pengeluar kereta nasional berkata, dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu memasang cermin gelap sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

"Pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 apabila ia dilancarkan pada 7 Mei tahun lalu.

"Ini disusuli dengan Proton S70 apabila ia dilancarkan pada November tahun lalu dengan kedua-dua varian Flagship dan Flagship X dilengkapi dengan cermin gelap keselamatan sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard.

"Pilihan itu akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat kerana PROTON sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambahan kepada pelanggan," katanya.

PROTON berkata, terdapat banyak kelebihan apabila pemasangan cermin gelap dikendalikan oleh pengeluar asli (OEM) berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan.

"Ini termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik menggunakan cetakan pra-potong, langkah jaminan kualiti yang ketat, pematuhan kepada peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya dikaitkan dengan pemasangan selepas pasaran.

"Pelanggan juga boleh menikmati waranti perbatuan tanpa had selama 5-tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, sekali gus membuktikan komitmen PROTON yang menekankan kepuasan pelanggan dan ketahanan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu di Tanjung Malim adalah satu langkah penting ke arah komitmen PROTON untuk menawarkan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan.

"Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti yang lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

"Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan jumlah dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard," katanya.

Berita Harian X