Selasa, 19 March 2024 | 2:17pm
Honda WR-V RS sesuai untuk mereka yang lincah dan mahukan jentera yang minimalis.
Honda WR-V RS sesuai untuk mereka yang lincah dan mahukan jentera yang minimalis.

Penangan WR-V RS

KETERUJAAN dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Honda WR-V berterusan memandangkan SUV bersaiz kecil dengan harga mampu milik membuatkan ramai yang berkemampuan memiliki.

Dengan tawaran empat varian iaitu S yang merupakan model paling asas, diikuti dengan E, V dan spesifikasi tertinggi RS yang ditawarkan pada harga dari RM89,900 hingga RM107,900.

WR-V didatangkan dengan enjin L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada 6,600 rpm dan tork puncak 145 Nm pada 4,300 rpm.

Jentera ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan.

Dengan padanan mekanikal yang dinyatakan, kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 160 kilometer sejam (km/j).

Pecutan dari 0-100 km/j pula sedikit berbeza di mana varian RS mampu memecut dalam 11.3 saat, berbanding S dan E yang sekitar 11 saat, manakala varian V pula 11.1 saat.

Pandu uji penulis kali ini membabitkan varian RS, versi tertinggi WR-V yang menawarkan aspek lengkap.

Dari aspek pemanduan, pengendalian SUV bersaiz kecil ini cukup mudah dan tahap responsifnya juga agak memuaskan, sesuai dengan saiznya di mana padanan kapasiti enjin dengan reka bentuk kecilnya 'ngam'.

Kawalan sterengnya juga agak memberangsangkan meskipun dalam pemanduan jalan berselekoh mahupun lurus.

Malah, radius pusingannya yang mencapai 5.3 meter memudahkan penulis mengambil selekoh atau membuat pusingan 'U'.

Terima kasih kepada suspensinya iaitu topang MacPherson di hadapan dan torsion di belakang, yang membantu memberikan kestabilan untuk pengendaliannya.

Aspirasi sporty

WR-V memiliki dimensi 4,060 milimeter (mm) panjang, selebar 1,780 mm, berketinggian 1,608 mm (varian S hanya 1,576 mm) dan jarak roda sejauh 2,485 mm.

Daya tarikan paling nyata untuk WR-V ini sudah pasti imej luaran yang ditampilkan dengan penuh aspirasi 'sporty'.

Untuk bahagian hadapannya, lampu utamanya kelihatan tajam ditemani dengan gril yang direka lebih futuristik dengan sentuhan krom berwarna gelap.

Unit pencahayaan hadapan iaitu bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus diberikan unit LED.

Bagi bahagian sisinya, ia ditampilkan garisan badan yang memanjang dari lampu hadapan sehinggalah ke lampu belakang. Ia didatangkan dengan rim aloi lima-jejari

Di bahagian belakang pula menyaksikan rekaannya yang agak ringkas termasuk menampilkan lampu jenis LED, palang krom pada bawah bampar serta operasi tailgate secara manual.

Menjengah ke dalam kabin, WR-V diberikan rekaan yang bersifat minimalis dengan bahagian papan pemukanya tidak sarat dengan ciri kelengkapan.

Antara ciri kelengkapan yang diberikan kepada RS dan varian lain termasuklah kemasukan pintar bersama butang push start, paparan tujuh-inci untuk sistem audio dengan enam pembesar suara, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dua unit port USB dan sokongan Bluetooth.

Untuk kelengkapan keselamatan pula, kesemua varian diberikan ciri standard termasuk cagak Isofix, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, dua penderia undur, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan juga Honda LaneWatch.

Selain itu, WR-V juga dilengkapi dengan Walk-Away Auto Lock, ciri pertama seumpamanya bagi kelasnya.

Ciri ini berfungsi untuk mengunci pintu secara automatik beberapa saat setelah pemandunya berjalan minimum dua meter atau lebih dari SUV kompak ini.

Bagaimanapun, varian RS menerima enam beg udara (empat unit bagi tiga varian di bawahnya), dan juga Honda SENSING yang merangkumi sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

SUV kompak ini tawarkan kapasiti enjin yang besar untuk saiznya.
SUV kompak ini tawarkan kapasiti enjin yang besar untuk saiznya.

Berita Harian X