Selasa, 19 March 2024 | 2:04pm
Corolla GR Sport bukan sekadar sedan biasa.
Corolla GR Sport bukan sekadar sedan biasa.

Corolla GR Sport, sedan sporty

BEBERAPA tahun lalu, penulis ada memandu uji Toyota Corolla Altis di mana reka bentuk yang ditampilkan lebih sporty.

Namun, kehadiran Corolla GR Sport UMW Toyota Motor (UMWT) Ogos tahun lalu menampilkan pengayaan lebih dinamik dan ternyata lebih sporty.

Ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM152,800, jentera progresif ini menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding model Corolla biasa.

Selain lencana GR yang mencadangkan sisi sporty dari sayap prestasi dan perlumbaan Toyota ini, Corolla GR Sport hadir dengan wajah depan berbeza.

Bahagian gril didatangkan dengan jenis honey comb mesh di bawah yang lebih besar dengan kemasan hitam berkilat, lampu depan dengan ciri AHB, lampu kabus LED, jalur dan bukaan bawah logo Toyota yang lebih luas serta pelapik bawah badan untuk mengurangkan lagi kesan daya rintangan model ini.

Di sisi, perumah cermin sisi hitam digunakan, serta rim khas GR bersaiz 18-inci serba hitam, dengan profil tayar lebih besar 225/40R 18.

Di belakang pula, rekaan bahagian bamparnya diperbaharui dengan tambahan diffuser. Selain itu, lencana GR turut menghiasi di belakang.

Penambahbaikan yang ditawarkan jadikan sedan ini lebih menarik.
Penambahbaikan yang ditawarkan jadikan sedan ini lebih menarik.

Menjengah ke dalam kabin, kerusi balutan kulit dengan jahitan merah menjadi penawaran yang diteruskan bagi varian GR Sport ini.

Walaupun mengekalkan kapasiti enjin, varian GR Sport ini menerima sedikit peningkatan dari segi prestasi termasuk penggunaan sistem suspensi yang diberi talaan khusus dengan disertai palang penstabil untuknya, memberikan kendalian yang lebih tertumpu dan lebih dinamik.

Kuasa berbeza

Toyota Corolla menggunakan enjin yang sama iaitu 2ZR-FE 1.8 liter NA empat-silinder sebaris dengan janaan kuasa 139 PS pada 6,000 rpm dan tork 172 Nm.

Ia dipadankan bersama CVT yang menghantar kuasa berkenaan ke roda hadapan.

Untuk Corolla GR Sport, ia hanya ditawarkan dalam tiga pilihan warna: Red Mica Metallic, Platinum White Pearl MC and Attitude Black.

Dari segi kelengkapan lainnya, Corolla GR Sport ini berkongsi banyak persamaan dengan varian 1.8G, yang kini turut hadir dengan kluster instrumen digital 12.3-inci sebagai kemaskini dan peningkatan terbaru.

Ciri lain yang ada termasuk ialah lampu utama projektor LED automatik, kawalan pendingin dua-zon, ciri brek parkir elekrtronik (dengan Auto Hold), paddle shifter, kerusi pemandu larasan lapan-arah, pelindung matahari tingkap sisi belakang, pengecas Qi tanpa wayar, monitor pandangan panoramik 3D dan perakam video digital depan dan belakang.

Dari aspek keselamatan pula, sama seperti varian Corolla 1.8G, versi GR Sport ini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense yang terdiri daripada ciri Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist, Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) kelajuan penuh, dan Auto Hight Beam (AHB).

Tidak ketinggalan peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, kawalan kestabilan, ABS, lampu isyarat kecemasan, sensor undur, brek parkir dan sistem amaran tekanan tayar. Barisan ciri keselamatan pasif juga seperti biasa, antaranya dengan tujuh-beg udara dan Isofix.

Selain menawarkan gaya sporty, aspek responsif yang ditawarkan Corolla GR Sport ini juga mengujakan.

Apabila pendikit ditekan, ia menyusur jalan dengan penuh lancar dengan 'ngauman' juga agak tidak kedengaran.

Justeru, dengan gaya dan prestasi yang ditawarkan, Corolla yang dahulunya menjadi model untuk bapa-bapa, kini sesuai untuk generasi lebih muda dan profesional.

Berita Harian X