Selasa, 19 March 2024 | 10:56am
smart #1 Premium tampil dengan ciri elegan dan futuristik.
smart #1 Premium tampil dengan ciri elegan dan futuristik.

smart #1 Premium, EV penuh kejutan

MEMANDU uji kereta elektrik (EV) sememangnya menyeronokkan, tetapi perlu ada keberanian untuk menempuh perjalanan jarak jauh.

Beberapa model EV yang telah dipandu uji sebelum ini membolehkan penulis menilai dari aspek penggunaan kuasa dan prestasi setiap jentera.

Semua ini tidak lengkap jika pusat pengecasan kurang tetapi ketika ini, semua ini bukanlah satu masalah memandangkan stesen pengecas sudah 'bersepah' di mana tempat di kawasan bandar.

Cuma yang membezakannya adalah kuasa yang ditawarkan sama ada DC atau AC.

Jentera elektrik pintar ini menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan selesa.
Jentera elektrik pintar ini menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan selesa.

Justeru, memandu uji smart #1 Premium untuk tempoh lebih empat hari bukanlah satu masalah kepada penulis.

Tidak seperti pandu uji EV sebelum ini yang menyaksikan penulis memandu dari Kuala Lumpur ke Johor, kali ini bagi sesi #1 Premium cukuplah untuk pemanduan antara bandar.

Sebenarnya, smart bukanlah satu jenama baharu di Malaysia kerana ia telah pun wujud sejak dari 1994 dengan barisan model urban yang kompak dan comel.

Di Malaysia, pengedaran dan penjualan kereta elektrik smart dikendalikan oleh Pro-Net, anak syarikat Proton dan telah pun melancarkan model pertama mereka, iaitu smart #1 tahun lalu.

Walaupun penulis tidak berkesempatan menyertai sesi pandu uji media selama dua hari ke Pulau Pinang, Pro-Net telah 'membekalkan' #1 lebih awal kepada untuk pandu uji individu.

Kabin premium

Dari aspek kualiti pemanduan smart #1 Premium, ia ternyata memberikan rasa puas kepada penulis berikutan maklum balas steringnya yang responsif dan sangat membantu ketika mengambil selekoh.

Dengan kawalan yang ditampilkan, ia menjadikan #1 Premium sangat stabil sama ada di jalan persekutuan atau lebuh raya.

smart #1 menggunakan kuasa daripada motor elektrik 268 kuasa kuda (hp) dan tork 343 Nm.

Secara standard, pek bateri 66 kWh itu membenarkan jarak gerak sejauh 440 kilometer (km), namun kapasiti bateri bergantung kepada gaya pemanduan, mod yang digunakan dan cuaca.

Untuk sesi pandu uji antara bandar penulis, cas penuh #1 Premium membolehkan penulis memandu lebih 350 km, jarak yang cukup baik.

Jentera elektrik pintar ini menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan selesa.
Jentera elektrik pintar ini menjadikan pemilikan EV lebih mudah dan selesa.

Jika menggunakan #1 Premium untuk berulang-alik ke tempat kerja, penulis dapat menganggarkan satu cas penuh mampu bertahan hampir seminggu.

Namun, jika memerlukan pengecasan, tiada masalah kerana aplikasi yang disediakan menerusi Hello smart membolehkan penulis meneroka lokasi pusat pengecasan, siap dengan paparan kapasiti kuasa dan kadar yang ditawarkan sekali.

Kemudahan yang ditawarkan ini menjadikan pemilikan smart #1 menjadi lebih baik, malah penggunaan peta navigasi juga sangat mudah termasuk paparan kadar penggunaan bateri dari destinasi A ke B. Semuanya di hujung jari.

Penggunaan EV sebenarnya mengajar anda tentang aspek pemanduan berhemah, kepekaan dengan baki bateri dan memerlukan perancangan perjalanan.

Jika dahulu pemilikan EV mungkin menyusahkan, tetapi dengan bercambahnya pusat pengecasan dan 'kebanjiran' model baharu memberi kemudahan kepada anda.

Spesifikasi smart #1 Premium

• Motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang

• 268 hp, 343 Nm

• 0-100 km/j 6.7 saat

• Kelajuan maksimum 180 km/j

• Mod pemanduan Eco/Comfort/Sport

• Pengecasan AC 22 kW atau DC 150 kW

• Rim aloi 19 inci

• Pek bateri NCM 66 kWh

• Jarak gerak 440 km (WLTP)

Berita Harian X