Sabtu, 16 March 2024 | 6:09pm
Yamaha XMAX 250 edisi terbaharu. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Yamaha XMAX 250 edisi terbaharu. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Yamaha XMAX 250 V2 kombinasi gaya, inovasi

KUALA LUMPUR: Sejak mula diperkenalkan pada 2018 model skuter berkuasa sederhana Yamaha XMAX 250 sememangnya menjadi antara skuter yang paling popular dalam kalangan pengguna di negara ini, justeru mengukuhkan kedudukan jenama motosikal Jepun berkenaan sebagai yang terbesar di Malaysia dari segi penguasaan pasaran.

Selain rupa bentuk yang menarik dan futuristik, skuter XMAX 250 kekal menjadi pilihan sehingga kini susulan keselesaan, ringkas, praktikal dan mudah digunakan setiap hari, mempunyai enjin yang berkuasa, stabil dalam kelajuan tinggi, mengambil selekoh dan ketika jalan basah, serta memiliki ruang simpan barang yang besar. Kapasiti tangki yang besar serta penjimatan bahan api juga menjadikan perjalanan sederhana jauh agak menyeronokkan.

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM), pemegang lesen rasmi bagi pemasangan (CKD) dan pengimportan (CBU) motosikal Yamaha di negara ini sejak 1978, baru-baru ini merancakkan lagi segmen skuter tempatan dengan memperkenalkan versi baru XMAX 250 (XMAX V2) dengan beberapa penambahbaikkan.

Elemen ditambahbaik

Berpeluang menunggang uji versi baharu ini, penulis dapati ia tampil dengan rekaan lampu hadapan lebih bergaya dengan garis X. Rekaan gaya sebegini juga terdapat pada lampu belakang apabila dinyalakan atau ketika membrek. Dari segi peletakan, binaan penuh lampu berkenaan di bahagian hadapan hadapan dan belakang menjadikan XMAX 250 ini tampak lebih 'garang'.

Tampil dengan rekaan lampu hadapan lebih bergaya dengan garis X. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Tampil dengan rekaan lampu hadapan lebih bergaya dengan garis X. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Rekaan gaya garis X juga terdapat pada lampu belakang apabila dinyalakan atau ketika membrek. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Rekaan gaya garis X juga terdapat pada lampu belakang apabila dinyalakan atau ketika membrek. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Sementara itu, ia juga tampil dengan panel meter baharu iaitu kluster TFT 4.2 inci memaparkan pelbagai maklumat dalam format yang jelas dan mudah difahami. Paling menarik XMAX baharu ini boleh sambungan Yamaha Y-Connect dan Garmin StreetCross untuk infotainmen serta navigasi.

Lampu hadapan direka semula dengan garisan pancaran berbentuk X, menjadikannya tampak lebih radikal, manakala lampu belakang LED membentuk garis X apabila lampu brek bernyala. Susun letak pada bahagian belakang XMAX baharu ini pula tampak penuh dan lebih menarik.

Panel meter baharu iaitu kluster TFT 4.2 inci memaparkan pelbagai maklumat dalam format yang jelas dan mudah difahami. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Panel meter baharu iaitu kluster TFT 4.2 inci memaparkan pelbagai maklumat dalam format yang jelas dan mudah difahami. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Jika pada model sebelumnya, reka letak lampu isyarat depan adalah pada bahagian bawah berhampiran penyerap hentakan, namun kali ini ia berada pada bahagian atas berhampiran skrin penghadang angin. Hong Leong Yamaha berkata, tujuannya adalah untuk mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Pada masa sama, tempat duduk pada XMAX baharu dibentuk lebih langsing sementara bahagian belakangnya kekal besar yang jelas selesa untuk perjalanan lama dan jauh tanpa memenatkan.

Reka bentuk lebih sporty. NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Reka bentuk lebih sporty. NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Bentuk kompak, sporty

XMax baharu juga adalah lebih kompak iaitu lebih pendek sekitar 5.0 milimeter (mm) namun lebih tinggi dan lebar serta sporty daripada model sebelumnya.

Meskipun ketinggian pelana sama seperti yang terdahulu, namun dari segi ergonomik, postur penunggang lebih menegak susulan rekaan pemegang yang sedikit lebih rapat dengan penunggang.

Untuk enjin pula, ia sama, kekal berkapasiti 249.8 cc Euro4 yang menjana kuasa 22.8PS pada 7,000 rpm dan tork 24.3Nm pada 5,500 rpm dengan transmisi CVT. Enjin ini telah terbukti berkuasa dan lancar ketika meluncur di jalan raya.

Enjin berkapasiti 249.8 cc Euro4 dengan transmisi CVT. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Enjin berkapasiti 249.8 cc Euro4 dengan transmisi CVT. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Berpeluang menunggang uji, ternyata XMAX adalah antara sebilangan skuter yang stabil ketika memecut dan mengambil selekoh. Ia antara faktor yang membuat model ini digemari. Tersemat fork hadapan teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang ia mengujakan melayan selekoh secara sederhana.

Menambah keyakinan penunggang, XMAX ini dicengkam oleh tayar hadapan 120/70 -15 dan belakang 140/70 - 14 dan brek cakera hadapan dan belakang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Turut meningkatkan ciri keselamatan tunggangan adalah sistem kawalan cengkaman (TCS) untuk kawalan lebih baik ketika jalan basah.

Tangki bahan api 13 liter membolehkan jarak perjalanan sehingga 315 kilometer (km) bergantung kepada faktor luaran.

Ruang simpanan bawah tempat duduk sangat luas. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis
Ruang simpanan bawah tempat duduk sangat luas. - NSTP / Kamarulzaidi Kamis

Kuasa kekal mantap

Secara keseluruhan, Yamaha XMax sememangnya mempunyai pelbagai faktor tarikan buat peminat jentera dua roda beralih dari motosikal biasa kepada skuter automatik CVT.

Tunggangan santai pada masa sama disertai prestasi menjadikan ia sesuai sama ada untuk tunggangan harian, santai atau berkonvoi jarak dekat dan sederhana.

Ruang simpanan bawah tempat duduk kekal seperti sebelum ini iaitu sangat luas sehingga boleh memuatkan dua topi keledar adalah antara tarikan pengguna untuk memilikinya.

Yamaha XMax 250 serba baharu ditawarkan pada harga RM23,998 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu Biru Icon dan Perak Max.

Berita Harian X