Khamis, 14 March 2024 | 3:59pm
Mazda CX-5 dilancarkan pada Januari - Foto Mazda Malaysia
Mazda CX-5 dilancarkan pada Januari - Foto Mazda Malaysia

Mazda CX-3, CX-5 mampu lonjak jualan Bermaz Auto

KUALA LUMPUR: Prospek bagi Bermaz Auto Bhd dilihat masih menggalakkan kerana ia bakal mencatat perolehan tahunan yang memecah rekod sekali lagi.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata walaupun tunggakan pesanan sudah kembali kepada paras sebelum pandemik iaitu sebanyak 2,000 unit, jumlah jualan Mazda sepatutnya kekal bertahan pada suku-suku akan datang.

Katanya, hal ini dibantu oleh pelancaran model baharu Mazda CX-3 dan CX-5 pada bulan Januari lalu.

"Tambahan lagi, model kereta pemasangan tempatan (CKD) untuk CX-30 tetap mendapat sambutan ramai yang merangkumi 40 peratus jumlah jualan model untuk suku ketiga tahun kewangan 2024.

"Di Filipina, kami fikir model kereta Mazda CX-60 dan CX90 yang baru sahaja dilancarkan sepatut mampu meningkatkan jualan kereta," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Syahril berkata, Bermaz Auto antara syarikat pilihan utama untuk sektor automotif tempatan berikutan jualan kereta yang bertahan yang dibantu oleh pelancaran model kereta yang berterusan.

"Namun, ia juga tetap berdepan risiko termasuk tempahan dan penghantaran kereta lebih rendah daripada jangkaan serta timbulnya kekangan dalam rantaian bekalan," katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2024, keuntungan bersih Bermaz Auto melonjak kepada RM190.32 juta daripada RM115.83 juta manakala perolehan hasil turut meningkat kepada RM2.1 bilion daripada RM1.5 bilion sebelumnya.

Bagi prospeknya, pelancaran model baharu dan yang dipertingkat daripada kenderaan Bermaz masih banyak bergantung kepada sentimen pasaran serta keadaan ekonomi.

Mengulas lanjut, Syahril berkata, keputusan kewangan bagi sembilan bulan itu seiring dengan jangkaan pihaknya.

Namun, katanya bagi suku ketiga 2024, pendapatan Bermaz turun 11 peratus apabila jumlah jualan menurun 12 peratus mengikut faktor musim.

"Walaupun jumlah jualan di Malaysia terjejas akibat faktor musim, prestasi Bermaz di Filipina masih agak kukuh apabila ia mencatat kenaikan hasil dua peratus.

"Prestasi di Filipina ini disokong khususnya oleh permintaan untuk model CX-60 yang meningkat tiga kali ganda suku ke suku," katanya.

Berita Harian X