Isnin, 26 Februari 2024 | 6:08pm
Gambar hiasan. - AFP
Gambar hiasan. - AFP

Tesla perluas rangkaian pengecasan ke Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Tesla mengumumkan pengembangan rangkaian stesen pengecasannya ke Pulau Pinang dengan membina dua stesen Destination Charging di All Seasons Place di sini dan The Ship Campus di Batu Kawan.

Syarikat automotif dan tenaga bersih yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata peluasan liputan stesen pengecasan ini memberi peluang kepada pemilik kereta Tesla untuk menikmati perkhidmatan mengecas merentas negara dari Singapura ke Johor dan Pulau Pinang.

"Stesen Destination Charging Tesla itu menyediakan pilihan pengecasan yang mudah dan terjamin bagi pemilik Tesla yang mana mereka hanya perlu pasang masuk ke soket dan menikmati pengecasan secara percuma.

"Menerusi aplikasi Tesla, pemilik boleh memantau status pengecasan dan menerima pemberitahuan apabila kenderaan mereka selesai dicas," katanya.

Stesen The Ship Destination Charging menyediakan lapan pengecas manakala stesen All Season Place Destination Charging menyediakan empat pengecas.

Sehingga kini, terdapat enam stesen Supercharging dan lapan stesen Destination Charging Tesla di Malaysia, yang menawarkan sejumlah 30 pengecas Supercharger dan 37 pengecas Destination Charging di bandar-bandar utama di negara ini.

"Tesla akan terus membina lebih banyak infrastruktur pengecasan di Pulau Pinang dan memperluaskan rangkaian pengecasannya di Malaysia," katanya.

– Bernama

Berita Harian X