Khamis, 22 Februari 2024 | 12:38pm
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) melancarkan BYD SEAL dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) melancarkan BYD SEAL dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad

BYD SEAL tiba di Malaysia harga bermula RM179,800

KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors dan BYD melancarkan model kereta elektrik (EV), BYD SEAL, model sedan elektrik sepenuhnya serba baharu dengan teknologi terkini yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM179,800.

Pelancaran BYD SEAL itu akan menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman pemanduan elektrik, melambangkan kemajuan besar bagi BYD, sekali gus meneruskan transformasi Malaysia ke arah penggunaan pengangkutan elektrik.

BYD SEAL hadir dalam dua varian iaitu Premium AWD pada harga RM179,800 dan Performance AWD berharga RM199,800 dalam empat pilihan warna iaitu Biru Artik, Cosmos Black, Atlantis Grey dan Aurora White.

Sempena pelancaran itu juga, 800 tempahan awal akan menikmati pengecas 'wallbox' percuma dan kredit cas Gentari atau ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Mengulas mengenai pelancaran model EV terbaharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata pengenalan BYD SEAL di Malaysia amat bermakna kepada pasaran EV tempatan yang sedang berkembang pesat.

Beliau berkata, berlandaskan teknologi terkini, reka bentuk hebat dan prestasi luar biasa, BYD SEAL terserlah sebagai salah satu daripada EV paling menarik di pasaran ketika ini.

"Buktinya adalah minat luar biasa yang ditunjukkan oleh pengguna yang menantikan pelancarannya. Minat yang ditunjukkan oleh pengguna sebelum pelancaran amat positif.

"Kami teruja untuk melihat bagaimana ia akan membentuk semula e-pengangkutan di Malaysia dan rantau ini," katanya selepas majlis pelancaran BYD SEAL di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang pula berkata, pelancaran BYD SEAL adalah detik yang sangat bermakna bagi BYD di Malaysia.

Model baharu itu, katanya melambangkan pendekatan BYD terhadap inovasi dan kualiti serta usaha berterusannya ke arah kecemerlangan.

"Direka cipta untuk keselesaan dan kecekapan, ia menawarkan nilai yang tersendiri sebagai sedan elektrik berteknologi tinggi yang menyediakan ruang jauh lebih luas untuk kegunaan keluarga dan individu," katanya.

Teras BYD SEAL ialah e-platform 3.0 inovatif canggih, yang menjadikannya pelopor keselamatan dan prestasi dan ia adalah model pertama yang dilengkapi teknologi CTB (sel pada badan) inovatif, yang menyepadukan dengan sempurna bateri bilah ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan.

BYD SEAL direka cipta untuk keselesaan dan kecekapan -NSTP/Hazreen Mohamad
BYD SEAL direka cipta untuk keselesaan dan kecekapan -NSTP/Hazreen Mohamad

Disokong oleh teknologi iTAC serba maju, kemajuan ini terus meningkatkan dinamik pemanduan, mengurangkan atau berupaya mengelakkan gelinciran, memanfaatkan sepenuhnya kuasa kenderaan dan memastikan pengalaman memandu yang selamat dan lancar.

Selain ciri-ciri serba maju itu, BYD SEAL dilengkapi e-Platform 3.0 yang menjanjikan kepintaran, kecekapan, keselamatan dan estetika yang serba sempurna.

Sistem enjin pacuan kuasa elektrik lapan dalam satu keluaran besar-besaran pertama dunia mengoptimumkan penggunaan ruang dan kecekapan tenaga, manakala sistem pam haba meningkatkan kecekapan haba dan mengurangkan kehilangan tenaga pada pelbagai julat suhu.

BYD SEAL ialah model pertama untuk mengguna pakai seni bina pacuan roda belakang, melambangkan komitmennya untuk menjangkaui sempadan dan menetapkan piawaian baharu dalam kejuruteraan EV.

Selain itu, dua pakej servis menyeluruh turut diperkenalkan iaitu pakej Standard dan Plus, yang ditawarkan bagi memberikan ketenangan minda pengguna dengan khidmat penjajaran, pengimbangan dan penggiliran tayar disertakan untuk kedua-dua pakej terbabit.

Pelan servis dirangka untuk memberikan pemilik pengalaman pemilikan kereta yang mudah, melindungi pelaburan sambil mengurangkan potensi kenaikan harga masa depan, seterusnya menjamin penjimatan kos dalam jangka panjang.

Di samping itu, sebagai bukti komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kepuasan pelanggan dan ketenangan fikiran, BYD SEAL menawarkan pakej waranti yang menyeluruh.

Berita Harian X