Selasa, 20 Februari 2024 | 2:44pm
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) pada majlis memperkenalkan inisiatif Beyond Zero UMW Toyota di Kuala Lumpur hari ini - Foto BERNAMA
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) pada majlis memperkenalkan inisiatif Beyond Zero UMW Toyota di Kuala Lumpur hari ini - Foto BERNAMA

Pengeluar kereta elektrik disaran pilih Malaysia jadi hab

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyeru pembuat kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kilang pengeluaran di Malaysia mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk membekalkan dan menawarkan perkhidmatan ke pasaran EV yang berkembang pesat di ASEAN.

Beliau berkata demikian berikutan pasaran EV di ASEAN dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 33 peratus daripada kira-kira AS$500 juta pada 2021 kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027.

"Malaysia mempunyai banyak faktor positif yang menjadikan landskap pelaburan kita sesuai bagi menyokong hasrat hab serantau syarikat multinasional.

"Selain daripada lokasi yang strategik, infrastruktur yang baik dan kedaulatan undang-undang, kita juga mempunyai industri elektrik dan elektronik (E&E) mantap yang telah memberi sokongan kepada industri lain termasuk aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan EV," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis memperkenalkan inisiatif Beyond Zero UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) di sini hari ini.

Secara komersial, industri automotif mencatatkan prestasi kukuh pada 2023, mencapai jumlah keseluruhan industri (TIV) hampir 800,000 unit manakala penggunaan kenderaan elektrifikasi (xEV) turut meningkat daripada 2.77 peratus TIV pada 2022 kepada 4.12 peratus pada 2023.

Pendaftaran baharu bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) penumpang meningkat daripada kira-kira 3,000 unit pada 2022 kepada lebih 13,000 unit pada 2023.

Sebagai persediaan kepada peralihan kenderaan pelepasan sifar, menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan untuk memperkasa penggiat industri automotif tempatan melalui pelbagai insentif pelaburan untuk memasang atau menghasilkan hibrid dan EV.

"Kita juga menggalakkan kerjasama dengan peneraju industri global untuk menawarkan pengeluaran kenderaan tenaga bersih ke Malaysia dan memulakan kemudahan penyelidikan dan pembangunan mereka di negara ini supaya kita dapat membangunkan lebih ramai pekerja tempatan berkemahiran tinggi dan menyokong lebih ramai vendor domestik," katanya.

Matlamat Sifar Bersih Nasional turut disokong oleh NAP 2020, dan antara lainnya adalah Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) 2023-2050.

Mengenai permintaan industri yang tinggi terhadap bakat mahir, beliau berkata MITI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan keperluan industri untuk pekerja mahir akan tercapai.

"Kami telah memulakannya dengan menyarankan penyelesaian jangka pendek, iaitu membuka pasaran kerja kami secara terpilih kepada graduan asing yang mempunyai kelayakan sasaran bagi menangani jurang bakat, selain melaksanakan langkah jangka panjang untuk meningkatkan kemasukan pelajar tempatan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional," katanya.

Mengenai kenderaan cekap tenaga dan EV, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan pada tahun lepas, iaitu Jawatankuasa Kabinet yang terdiri daripada kementerian utama seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagi membina infrastruktur yang diperlukan untuk mencapai sasaran mempunyai 20 peratus daripada TIV untuk EV (termasuk sel bahan api hidrogen) menjelang 2030, 50 peratus daripada TIV menjelang 2040, dan 80 peratus daripada TIV menjelang 2050, Jawatankuasa Pemandu ini antara lainnya akan menangani beberapa perkara yang menjadi kebimbangan utama.

"Kebimbangan itu adalah pertama, terdapat stesen pengecasan untuk menangani kebimbangan pelanggan, dan kedua, memastikan bekalan memperkasakan ekosistem pengecasan supaya pemilik boleh mengecas sebarang EV dengan cepat, mudah dan yakin sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X