Jumaat, 16 Februari 2024 | 4:04pm
BMW iX M60
BMW iX M60

BMW perkenal dua kereta elektrik baharu di Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Malaysia memperkenalkan dua kenderaan yang didatangkan dengan teknologi pengecasan terbaharu menerusi BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60.

Harga runcit atas jalan tanpa insurans BMW iX xDrive50 Sport adalah RM465,800, manakala BMW iX M60 adalah RM579,800.

Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan berkata, BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 menjadi satu lembaran yang signifikan dalam legasinya untuk mencorak alaf mobiliti elektrik di Malaysia.

Beliau berkata, menyusuli kedudukanya sebagai peneraju dalam pembekalan kenderaan elektrik (EV) premium di dalam negara, perungkaian kenderaan ini turut mencerminkan komitmen untuk memajukan landskap mobiliti berelektrik di peringkat tempatan.

"Dengan mempelbagaikan jentera BMW i yang ditawarkan di Malaysia, kami berhasrat untuk terus merealisasikan pengalaman pemilikan elektrik bertaraf premium buat pelanggan yang dihargai di seluruh negara.

BMW iX xDrive50 Sport
BMW iX xDrive50 Sport

"Kami telah membuka tirai tahun ini dengan memperkenalkan BMW X5 xDrive50e M Sport untuk pelanggan dan peminat EV pasti teruja untuk menyaksikan kenderaan yang bakal menyusul pada 2024," katanya dalam satu kenyataan.

Sashi berkata, BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 dikemas kini dari segi keupayaan teknologi untuk menaikkan tanda aras bagi mobiliti elektrik dalam pasaran tempatan.

Katanya, ia akan mengekalkan gaya serta elemen uniknya yang mendefinisikan siri kenderaan BMW iX, dengan kedua-dua varian ini turut mempunyai keupayaan pengecasan baharu serta mengintegrasikan suspensi berciri dwigandar.

Beliau berkata, BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 kini didatangkan dengan pengecas jenis arus ulir (AC) secara standard bagi menaik taraf keupayaan pengecasan kenderaan ini.

"Fungsi pengecasan itu akan mengurangkan waktu pengecasan dengan signifikan, sama ada di rumah atau di stesen pengecasan AC awam, dengan keupayaan pengecasan 22 kilowatt (kW) yang baharu.

"Ia membekalkan pengalaman pengecasan yang lebih efisien dan menyenangkan di mana akan mengurangkan waktu pengecasan kedua-dua kenderaan ini secara signifikan, iaitu bawah lima jam 30 minit untuk pengecasan penuh dari 0 peratus sehingga 100 peratus," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua jentera itu juga akan membawakan fungsi pengecasan berkuasa tinggi sehingga 195 kW, menyingkatkan proses pengecasannya daripada sifar peratus sehingga 80 peratus hanya dalam tempoh 35 minit.

Berita Harian X