Selasa, 13 Februari 2024 | 11:47am
Stesen pengecas super Tesla di Pavilion Bukit Jalil - Gambar ihsan Tesla Malaysia
Stesen pengecas super Tesla di Pavilion Bukit Jalil - Gambar ihsan Tesla Malaysia

Tesla pasang 30 pengecas super di seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR: Tesla Malaysia telah memasang 30 pengecas super di enam stesen yang terletak di beberapa lokasi utama di Lembah Klang, Melaka dan Johor.

Buat masa ini juga, pengeluar kereta elektrik (EV) itu memiliki 25 pusat pengecas arus ulang alik (AC) di bandar-bandar utama di Malaysia.

"Tesla mengumumkan pembukaan stesen pengecas super di Pavilion Bukit Jalil dengan enam pengecas super ditempatkan di sana. Sejak Tesla dilancarkan lapan bulan lalu, kami komited untuk mengembangkan rangkaian pengecasan untuk menyediakan pengalaman mengecas lancar kepada pemilik Tesla di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Selain Pavilion Bukit Jalil, Tesla memiliki lima lagi stesen pengecas super iaitu masing-masing di Pavilion Kuala Lumpur (lapan), Sunway Pyramid (empat), Freeport A'Famosa Melaka (empat), Sunway Big Box Johor (empat) dan Pusat Servis Tesla Cyberjaya (empat).

Menerusi kemudahan pengecasan Telsa, pemilik boleh memanfaatkan kecekapan puncak 250kW di mana untuk Model 3, ia boleh dicas semula sehingga jarak perbatuan 282 kilometer (km) dalam 15 minit atau bersamaan dengan empat kali perjalanan pergi balik antara Pusat Pengalaman Tesla Cyberjaya dan Pavilion Bukit Jalil.

"Pengecasan merentas sempadan di Malaysia dan Singapura kini dibenarkan. Dengan sokongan bersepadu untuk kenderaan Tesla dan aplikasi mudah alih, pemilik mampu menavigasi dengan mudah, memastikan prasyarat bateri kenderaan dan mengakses stesen pengecasan untuk pengalaman mengecas yang pantas dan tanpa kerumitan.

"Ini termasuk pemantauan masa nyata ketersediaan pengecas, status pengecasan, pembayaran dan sokongan teknikal, antara ciri lain," tambah Tesla Malaysia.

Dari segi kadar caj pula, pengecas super ditawarkan pada RM1.25 bagi setiap kilowatt sejam (kWh), manakala fi Idle ketika stesen pengecas super penuh adalah sehingga RM4.

Berita Harian X