Jumaat, 9 Februari 2024 | 3:31pm
GAC GS3 Emzoom.
GAC GS3 Emzoom.

Tan Chong sasar jual 1,000 unit kenderaan GAC tahun pertama di Vietnam

KUALA LUMPUR: Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM), pengedar kenderaan GAC Motor International Co Ltd (GAC) di Vietnam, dijangka menjual sehingga 1,000 unit untuk tahun pertama selepas dilantik mengemudi rangkaian pengedaran di negara itu.

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata TCM dijangka mengambil sedikit masa untuk membina jenama dan jumlah jualan di Vietnam, sebelum ia meningkat secara beransur-ansur.

"Pasaran kereta di Vietnam agak kecil berbanding Malaysia kerana dasar penetapan harga yang tidak stabil dan kuasa beli yang lebih rendah.

"Pembuat kereta di bawah Persatuan Pengilang Automobil Vietnam (VAMA) menjual lebih 300,000 unit kenderaan pada 2023, susut 25 peratus tahun ke tahun, berbanding jualan di Malaysia yang berada pada 799,000 unit tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan.

TCM menandatangani perjanjian pengedaran dan perkhidmatan eksklusif selama 3-tahun dengan GAC menyaksikan syarikat automotif Malaysia itu akan mengimport, mengedar dan menjual kenderaan serta alat ganti GAC, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan GAC di Vietnam.

Wan Mustaqim berkata, TCM telah dilantik sebagai pengedar eksklusif untuk kenderaan GAC di Vietnam, yang akan membantu mengisi jurang yang ditinggalkan oleh penamatan pengedar kenderaan MG di Vietnam pada Jun 2023.

Pada suku ketiga 2023. TCM menjual hanya 23 unit kenderaan di Vietnam berikutan penamatan perjanjian pengedaran kenderaan MG oleh prinsipalnya, SAICMotor International Co Ltd (SMIL) pada Jun tahun lalu.

"Kami terus kekal berhati-hati di TCM kerana bahagian pasarannya yang tidak ketara iaitu 1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

"Malah kekurangan pelancaran baharu manakala pesaingnya telah berjaya melancarkan model serba baharu, selain ketidakupayaannya untuk menaikkan harga untuk mengimbangi kenaikan kos pengeluaran, terutamanya dengan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak kepada TCM," katanya.

Kenanga Research meletakkan saranan UNDERPERFORM kepada TCM dengan risiko termasuk pengguna memilih untuk berbelanja terutama barangan besar seperti kereta baharu apabila kadar inflasi yang tinggi mereda.

"Kami juga menjangkakan TCM akan melancarkan model baharu yang lebih menarik untuk menarik minat pembeli kereta, selain keuntungan daripada simpanan tanah atau ia diswastakan harga premium berbanding harga pasaran," katanya.

GAC yang berpangkalan di China memiliki banyak model termasuk sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV), hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan tenaga baharu (NEV).

Kumpulan itu telah mengeluarkan dan menjual lebih daripada 2 juta kenderaan dari kilang pembuatannya di Guangzhou, Xinjiang, Yichang dan Hangzhou.

Model terbarunya termasuk GAC GS3 Emzoom serba baharu.

Berita Harian X