Rabu, 7 Februari 2024 | 1:01pm
Toyota Motor - Foto Reuters
Toyota Motor - Foto Reuters

Toyota Motor labur RM6.2 bilion bina kereta elektrik di AS

TOKYO: Pengeluar kereta Jepun, Toyota Motor Corporation memperuntukkan pelaburan mencecah AS$1.3 bilion (RM6.2 bilion) untuk kemudahan utamanya di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) untuk memacu inisiatif elektrifikasi masa depan, demikian menurut agensi berita Jerman, dpa.

Pelaburan itu termasuk pengeluaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik bateri (BEV) tiga baris baharu untuk pasaran AS.

Projek itu dijangka meningkatkan pelaburan keseluruhan loji itu kepada hampir AS$10 bilion (RM47.6 bilion).

Menurut Toyota Motor, pelaburan itu menyokong pemasangan BEV masa depan yang diumumkan sebelum ini di Toyota Kentucky.

Ia juga menambah barisan pemasangan pek bateri ke kemudahan itu, dengan bateri dibekalkan oleh Toyota Battery Manufacturing North Carolina.

Toyota Kentucky telah menjadi hab operasi pembuat kereta itu di Amerika Utara sejak 1986.

Hampir 9,400 kakitangannya telah memasang beberapa papan nama model yang paling digemari dalam barisan Toyota, termasuk Camry.

Toyota Motor berkata, ia juga komited untuk melabur dalam komuniti operasinya, terutamanya memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.

Sejak membuat Kentucky sebagai hab kemudahan hampir empat dekad lalu, ia telah menyumbang lebih daripada AS$154 juta (RM732.9 juta) di peringkat tempatan.

-BERNAMA-dpa

Berita Harian X