Selasa, 6 Februari 2024 | 12:48pm
Harun (kiri) dan Thim Juan bersama model BMW iX yang ditawarkan untuk disewa - Gambar ihsan Auto Bavaria
Harun (kiri) dan Thim Juan bersama model BMW iX yang ditawarkan untuk disewa - Gambar ihsan Auto Bavaria

Auto Bavaria tawar sewa kereta elektrik RM550 sehari

KUALA LUMPUR: Sime Darby Auto Bavaria (SDAB), pengedar rasmi terbesar kenderaan BMW di Malaysia berganding bahu dengan Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC) - Hertz Malaysia, pemimpin dalam industri sewa kereta untuk menawarkan pengalaman memandu kenderaan elektrik (EV) yang menarik dan luar biasa kepada rakyat Malaysia.

Kerjasama ini membuka era baharu e- pergerakan dalam perkhidmatan sewa kenderaan.

Sempena kerjasama ini dan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang, satu tawaran sewa eksklusif dirangka untuk menawarkan pengalaman memandu tersendiri dengan BMW iX elektrik sepenuhnya yang sangat popular.

Dengan harga sewa yang bermula daripada RM550 sehari dan RM5,500 sebulan, BMW iX ialah model paling sesuai untuk pemanduan jangka pendek premium bagi peminat kereta yang ingin menikmati kemewahan EV berteknologi tinggi.

Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan, berkata syarikat itu komited sepenuhnya mahu merintis penggunaan EV di Malaysia.

"Kali ini, kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memandu BMW iX bagi menikmati gaya dan keunikan yang tiada tandingan dengan membawakan trend terkini dalam teknologi EV. Bersama dengan Hertz Malaysia, kami mencipta ekosistem kukuh yang menyokong selanjutnya penggunaan EV.

"BMW iX ialah model sempurna untuk ditawarkan kerana menjanjikan ciri kelebihan terbaik dalam segmen BMW EV tahun lalu.

"Kami menggalakkan semua orang untuk mengambil kesempatan daripada tawaran sewa perayaan bagi pengalaman memandu serba baharu yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan SDRAC, Harun Mohd Joned, berkata kerjasama ini bukan sahaja membolehkan pelanggan memandu model BMW iX dengan penuh bergaya tetapi juga membolehkan mereka meneroka perkhidmatan sewa tambahan lain, seperti khidmat pemandu, pengangkutan ulang-alik ke lapangan terbang dan juga tempahan terkhusus untuk majlis korporat dan juga acara persendirian.

"Objektif kami ialah menyediakan penyelesaian pengangkutan optimum kepada rakan niaga kami, SDAB, dan memberikan pengalaman kenderaan elektrik yang benar-benar mewah serta moden kepada pelanggan sewa kenderaan Hertz Malaysia," katanya.

Berita Harian X