Isnin, 5 Februari 2024 | 1:36pm
Model Proton S70 mempunyai lebih 8,000 tempahan setakat ini - Gambar ihsan PROTON
Model Proton S70 mempunyai lebih 8,000 tempahan setakat ini - Gambar ihsan PROTON

PROTON cemerlang jual 12,882 unit kereta bulan lalu

SUBANG JAYA: Prestasi kukuh Proton Holdings Bhd (PROTON) pada 2023 berterusan dengan merekodkan peningkatan jualan domestik dan ekport untuk Januari 2024 sebanyak 12,882 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata jualan kukuh itu juga membolehkan PROTON menjadi satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan yang lebih baik berbanding Disember 2023.

Beliau berkata, jualan pada Januari 2024 naik sebanyak 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala berbanding Januari tahun lalu pula, jualan meningkat sebanyak 10.3 peratus.

"Hasil daripada permulaan tahun yang kukuh, PROTON mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan dengan selesa.

"Pegangan pasaran syarikat bagi Januari dianggarkan sebanyak 19.5 peratus, iaitu 3.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Roslan berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6 peratus berbanding Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan 2023.

"Pada masa ini, ramai yang menganggarkan bahawa jualan automotif Malaysia akan menurun pada 2024 selepas mencatat rekod pada 2023. Ini disebabkan faktor seperti kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pengenalan Cukai Barangan Mewah.

"Walau bagaimanapun, PROTON kekal optimistik dengan permulaan yang kukuh kami untuk tahun ini akan menetapkan nada untuk 11 bulan yang akan datang kerana menyasarkan lebih banyak pertumbuhan jualan dengan fokus berterusan pada inovasi, kualiti serta khidmat pelanggan," katanya.

Penghantaran model terbaharu barisan PROTON iaitu Proton S70, telah bermula dengan 1,442 unit dihantar pada Januari.

Ketika ini, model itu mempunyai lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif yang diterima daripada pelanggan.

Model S70 juga memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan Februari.

Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular di Malaysia, Proton X50, meneruskan penguasaannya bagi permulaan tahun baharu.

Dengan 2,002 unit dijual pada Januari, ia kekal sebagai 'raja' bagi SUV segmen B, yang membuktikan popularitinya berkekalan lebih daripada tiga tahun selepas pelancaran.

Begitu juga Proton Persona yang memulakan tahun ini dengan baik apabila mendahului jualan bagi sedan segmen B dengan 1,846 unit dijual.

Model segmen teratas PROTON, iaitu Proton X90, turut mencatatkan prestasi yang baik apabila ia kekal sebagai peneraju dalam pasaran SUV segmen D, dengan 365 unit dijual pada Januari.

Ini dipadankan oleh Proton Exora yang walaupun pengeluarannya telah tamat, kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C itu kekal relevan dengan 203 unit dijual.

Selepas menamatkan tahun 2023 dengan jualan mengagumkan sebanyak 70,184, Proton Saga memulai 2024 dengan kukuh dengan 6,129 unit dijual, yang mengesahkan populariti dan kepentingannya yang berkekalan dalam portfolio PROTON.

Permulaan tahun yang teguh mengukuhkan kedudukan Saga sebagai asas dalam legasi PROTON dan menyerlahkan pengaruhnya dalam industri automotif Malaysia.

Bagi model PROTON yang lain, jualan untuk Iriz melonjak sebanyak tujuh peratus berbanding Disember dengan 523 unit dijual manakala 372 unit X70 telah dijual bulan lalu.

Berita Harian X