Rabu, 31 Januari 2024 | 1:37pm

BYD terajui pasaran EV Malaysia tahun lalu

KUALA LUMPUR: Sime Darby Beyond Auto (SDBA), pengedar eksklusif BYD di Malaysia, meraikan pencapaian 2023 cemerlang dengan jenama kereta elektrik (EV) itu muncul sebagai peneraju pasaran EV di Malaysia.

SDBA dalam satu kenyataan, berkata kejayaan itu sekali gus memperlihatkan populariti BYD, seiring dengan minat yang semakin bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengguna pakai kaedah pengangkutan lestari.

"SDBA telah menyambut ketibaan 2024 yang bertuah dengan acara sambutan Tahun Baharu Cina. Acara ini mendapat sambutan luar biasa, dengan lebih 660 tempahan diterima pada hujung minggu bagi model BYD ATTO 3 dan BYD DOLPHIN.

"Sejajar dengan kejayaan ini, SDBA bakal melancarkan siri promosi menarik, tawaran eksklusif dan kempen hebat dengan kadar faedah sifar. Inisiatif ini dirangka untuk mengekalkan momentum dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada pemandu Malaysia yang mahu beralih kepada EV," katanya.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors, Jeffrey Gan, berkata, pencapaian jualan EV tertinggi pada 2023 mencerminkan sokongan dan kepercayaan kukuh yang diberikan oleh pengguna Malaysia terhadap BYD.

"Rangkaian sokongan selepas jualan kami yang menyeluruh di seluruh negara ialah pembeza penting kejayaan kita. Kami teruja untuk menyediakan perkhidmatan luar biasa dan penjagaan teknikal kepada semua pemilik BYD dan selanjutnya," katanya.

BYD ATTO 3 telah berjaya menempa nama sebagai model pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya disebabkan harga yang menarik, menjadikan pemilikan EV lebih mudah bagi lebih ramai orang dan sesuai bagi seisi keluarga.

Selain harga yang berpatutan, BYD ATTO 3 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama yang dibina menggunakan e-platform 3.0 lanjutan BYD dengan jarak perjalanan hebat sehingga 480 kilometer (km) dengan cas penuh.

Sejajar dengan perkembangan itu, SDBA telah secara rasmi membuka pra-tempahan bagi BYD SEAL mulai 19 Januari.

Dengan yuran pra-tempahan RM1,000 seunit, pelanggan yang berminat boleh mengesahkan status mereka sebagai antara pembeli terawal BYD SEAL dengan yuran itu adalah sebahagian daripada harga kenderaan dan bayaran muka, dengan pengembalian wang tempahan yang tertakluk kepada terma dan syarat.

BYD SEAL berjaya meraih anugerah berprestij, termasuk Anugerah Reka Bentuk iF, membuktikan kecemerlangannya dari segi estetika dan fungsi.

Kenderaan itu juga mempunyai penarafan keselamatan lima-bintang daripada Euro NCAP, program keselamatan bebas terkemuka di Eropah.

Dalam pada itu, BYD SEAL telah muncul sebagai calon pusingan akhir dalam anugerah Kereta Terbaik Eropah Tahun 2024, mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri EV.

"Dengan kehadiran BYD SEAL yang amat dinanti-nantikan, SDBA kekal komited untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia dan yakin ini akan mengukuhkan lagi kedudukan BYD sebagai pemimpin dalam sektor automotif negara yang kian berubah," tambah Gan.

Berita Harian X