Jumaat, 26 Januari 2024 | 1:06pm
Terdapat kemungkinan pembelian kereta mewah akan dikenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi - Gambar fail NSTP
Terdapat kemungkinan pembelian kereta mewah akan dikenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi - Gambar fail NSTP

Kereta mewah belum pasti kena Cukai Barang Bernilai Tinggi

KUALA LUMPUR: Kereta mewah masih belum pasti dikenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT), demikian menurut penganalisis.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan HVGT pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

"Faktor yang tidak jelas diketahui adalah HVGT. Meskipun ada kemungkinan bahawa pembelian besar, termasuk kereta mewah akan dikenakan cukai baharu yang dicadangkan ini, kaedah pelaksanaan cukai itu belum jelas dilihat oleh pasaran, terutamanya berkenaan kadar cukai dan nilai ambang yang ditetapkan untuk kereta yang dikenakan cukai ini.

"Biarpun pembeli berpendapatan ultra tinggi mungkin tidak begitu terjejas oleh kenaikan ini, mereka yang berpendapatan sederhana hingga tinggi yang ingin mula membeli kereta mewah mungkin merasa impaknya," kata Penganalisis RHB Research, Syahril Hanafiah dalam satu nota penyelidikan.

Beliau turut menambah bahawa faktor tidak pasti lain adalah sama ada kenderaan elektrik (EV) juga akan dikenakan HVGT.

Katanya, bank pelaburan itu berpendapat hal berkenaan bercanggah dengan langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan EV.

"Pada 2024, kami jangkakan lebih banyak EV dibeli, memandangkan adanya model-model yang baru dilancarkan iaitu Tesla Model 3 dan Y, Neta V, dan Smart #1.

"Biarpun begitu, kami berpandangan bahagian pasaran EV akan terus berada sekitar paras semasa dan hanya akan mencatat kenaikan ketara selepas 2025 apabila harga lantai RM100,000 untuk EV yang dipasang di luar negara (CBU) dijangka tamat dan pengeluar kereta tempatan menawarkan EV mereka sendiri," katanya.

Mengenai prospek pasaran automotif tempatan, Syahril berkata, selepas dua tahun mencatatkan rekod tertinggi baharu untuk jumlah jualan keseluruhan industri (TIV), pihaknya berpandangan pasaran automotif pada 2024 tampak lebih suram kerana tunggakan pesanan semakin menurun.

Sementara itu, beliau berkata, jualan kereta yang kukuh sepanjang dua tahun lalu kebanyakannya merangkumi pembelian kenderaan yang tertangguh daripada tahun-tahun melandanya pandemik, sambil didorong oleh pengecualian cukai sementara.

"Kekurangan pemangkin untuk meneruskan catatan TIV tertinggi buat tahun ketiga menunjukkan fasa penurunan buat sektor ini pada 2024. Maka, kami kekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor (automotif)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat bahawa PERODUA akan tetap beroperasi seperti biasa meskipun lebih banyak masalah didapati berkaitan pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu pada Disember lalu, mendapati ia memberi kesan kepada jenama nasional itu dan juga Toyota.

"Walaupun Daihatsu menangguhkan operasi tempatannya di Jepun sehingga akhir Januari, kami difahamkan bahawa operasi PERODUA di Malaysia berjalan seperti biasa manakala kit-kit pemasangan tempatan (CKD) di Jepun untuk Malaysia dan Indonesia telah dikeluarkan semula," katanya.

RHB Research meramalkan TIV sebanyak 625,000 unit untuk 2024, penurunan sebanyak 22 peratus daripada angka 2023 iaitu hampir 800,000 unit.

"Tambahan lagi, kami berpandangan jualan kereta yang mantap sepanjang dua tahun lalu turut mencerminkan pembelian tertangguh bagi barangan bernilai besar daripada tahun-tahun melandanya pandemik, iaitu 2020 dan 2021," kata Syahril.

Berita Harian X