Sabtu, 20 Januari 2024 | 11:48am
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Prof Datuk Dr Jim Khor Mun Wei (tengah) melancarkan model Yamaha Y16ZR 2024 ke pasaran tempatan. - Lizam RIdzuan / NSTP
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Prof Datuk Dr Jim Khor Mun Wei (tengah) melancarkan model Yamaha Y16ZR 2024 ke pasaran tempatan. - Lizam RIdzuan / NSTP

Yamaha Y16 baharu diperkenalkan, dilengkapi ABS

KUALA LUMPUR: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan motosikal Yamaha Y16ZR Baharu 2024 ke dalam pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulannya Prof Datuk Dr Jim Khor Mun Wei berkata model moped premium itu kini dengan beberapa penambahbaikan dan ciri baharu yang lebih ranggi dan bergaya.

"Ia kini dengan rekaan fairing hadapan dan visor bergaya, brek cakera lebih besar dan dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)," katanya ketika pelancaran di sini malam semalam.

Motosikal ini kekal dengan enjin 155cc VVA, SOHC, empat lejang, empat injap sejukan cecair menjana 17.7 kuasa kuda pada 9,500 rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000 rpm dengan kotak gear enam kelajuan.

Y16ZR ditawarkan dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Violet Knight, Ocean Blue dan Mag Grey dan ia juga dilengkapi sistem klac Assist and Slipper untuk kelancaran tukaran gear, meter digital LCD dan sistem kunci pintar.

Harga jualan Yamaha Y16ZR Baharu 2024 ialah RM11,398 (atas jalan tanpa insurans) dan bakal berada di dalam pasaran akhir Januari ini.

Secara umumnya, model motosikal terbaru Yamaha untuk tahun 2024, Yamaha Y16ZR, mengekalkan enjin canggihnya yang berkuasa, sejuk cecair, 4-lejang, 4-ventil, SOHC 155cc dengan Variable Valve Actuation (VVA).

Sempena pelancaran model baru ini, HLYM juga mengadakan pameran keselamatan selama tiga hari di hadapan The StarHill, Kuala Lumpur di mana orang ramai boleh menyertai pertandingan untuk memenangi sebuah Yamaha Y16ZR 2024 yang baru dan membeli barang eksklusif Yamaha Y16ZR 2024, serta barang Yamaha lain yang dijual oleh GEN BLU Online Shop.

Berita Harian X